Assen, Belanda: Penunggang Ducati, Marc Marquez tampil mempertahankan adiknya, Alex Marquez dengan mengecam pengkritik yang mendakwa adiknya sengaja tidak mencabar dirinya untuk kemenangan dalam perlumbaan pecut dan utama musim ini.
Marquez yang mendominasi musim ini dengan 15 kemenangan dalam kategori pecut dan perlumbaan semalam, kurang senang apabila ditanya mengenai komen di media sosial dan pertanyaan wartawan yang mencadangkan adiknya menahan diri ketika mereka kerap menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.
Alex menduduki tempat kedua sebanyak 14 kali dan dikritik kerana dikatakan tidak cukup agresif untuk memintas abangnya.
Pelumba Gresini Racing itu kini ketinggalan 68 mata di belakang Marc. “Saya agak marah kerana orang perlu menghormati pelumba lain. Semalam, ramai orang yang saya lihat di media sosial dan juga beberapa wartawan bertanya kepada saya dan berkata ‘Tidak, adik kamu tidak mengasak kamu seperti yang lain’,” kata Marquez kepada TNT Sports.
“Orang mula berkata begitu dan saya marah ketika itu kerana Alex mempertahankan warna pasukannya, dia ada cita-cita. Sebab itu dia di tempat kedua dalam kejuaraan, kerana dia menunggang dengan sangat baik.
“Dia cuba menguruskan situasinya. Tapi seperti kita lihat hari ini, pelumba lain dari jenama lain dan negara lain juga mahu menang, tapi mereka tidak boleh mengasak saya, kerana jika pelumba di depan bertahan dengan baik, tiada siapa boleh mengasak anda.”
Alex tidak mengutip sebarang mata pada Grand Prix Belanda semalam selepas terjatuh dalam kemalangan yang menyebabkan tangannya patah dan memerlukan pembedahan.
Untuk mengukuhkan lagi hujahnya, Marquez menerangkan bagaimana Marco Bezzecchi dari Aprilia menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakangnya di Assen walaupun pelumba Itali itu cuba sedaya upaya memotongnya, tetapi menamatkan perlumbaan kurang dari satu saat di belakang pelumba Ducati itu.
“Dan hari ini Marco Bezzecchi, kenapa dia tidak mengasak saya? Saya bertahan dan saya tahu kelemahan saya adalah di selekoh 11-12, itu kawasan paling laju, ia litar yang sangat sempit dan jika anda bertahan di situ, tiada siapa boleh mengasak saya,” tambah Marc.
“Jadi saya bertahan di situ, cuba menyerang di titik brek.”Tapi saya cuma nak cakap orang perlu hormat pelumba lain dan nikmati persembahan. Semua orang mempertahankan warna pasukan masing-masing dan semua orang mahu menang.”
Kemenangan dalam perlumbaan pecut dan utama lebih bermakna buat Marquez selepas sesi latihan yang menyakitkan pada Jumaat apabila dia terjatuh dua kali.
“Adrenalin adalah ubat penahan sakit terbaik yang wujud, itu memang ubat saya,” katanya.
“Tapi sekarang saya akan berehat dua atau tiga hari untuk pulih, terutamanya tulang rusuk, jari, lengan dan seluruh badan. Kemalangan besar tidak sama semasa umur 20 tahun dengan ketika umur 32 tahun!”
© New Straits Times Press (M) Bhd