BERHATI-HATI dalam memilih pakej haji atau umrah agar tidak tertipu. Foto Canva
PENINGKATAN kes penipuan perkhidmatan pakej haji melibatkan penggunaan visa tidak sah semakin membimbangkan sekali gus mengundang perhatian serius pihak berkuasa dalam menangani permasalahan yang timbul setiap kali musim haji.
Biarpun Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berulang kali memberi amaran mengenai kemasukan ke negara itu bagi tujuan haji mesti menggunakan visa haji rasmi dikeluarkan negara berkenaan, namun masih ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan menerusi penipuan pakej haji.
Ketua Bahagian Pengurusan Penjanaan Strategik, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Hazrin Izwan Che Haron mencadangkan agar akta khas dan menyeluruh digubal bagi memperkasakan pengurusan perkhidmatan haji dan umrah di negara ini, sekali gus mengukuhkan peruntukan sedia ada yang kini dikuatkuasakan oleh agensi berasingan.
Beliau berkata peruntukan undang-undang khas bagi perkhidmatan haji dan umrah dapat membantu mengukuhkan penguatkuasaan dari pelbagai aspek seperti larangan penawaran tanpa lesen, penalti berat kepada pesalah dan hak perlindungan jemaah.
“Cadangan ini boleh memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih kuat kepada pihak berwajib untuk menyita, membekukan akaun dan menahan operasi secara serta-merta.
“Akta yang diperkasakan ini juga dapat membangunkan mekanisme skim insurans bagi pakej yang wajib diperkenalkan untuk setiap jemaah bagi memastikan wang dibayar dilindungi sekiranya berlaku pembatalan pakej, penipuan ejen dan kegagalan logistik,” katanya.

DR HAZRIN IZWAN
Hazrin Izwan berkata skim insurans itu bukan sahaja melindungi jemaah malah turut memastikan hanya agensi sah yang berdaftar dapat beroperasi, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kredibiliti.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan sistem akaun amanah, iaitu wang pelanggan disimpan dalam akaun khas atas nama jemaah dan tidak disalurkan terus ke akaun operasi agensi terlibat manakala pembayaran kepada agensi dilakukan secara berperingkat mengikut fasa perjalanan jemaah.
“Kaedah ini sangat efisien dalam mengelakkan penyelewengan dana sekali gus memastikan hak jemaah haji dan umrah terlibat terjamin,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan Arab Saudi membebaskan 47 jemaah haji Malaysia yang melanggar peraturan permit haji akibat ditipu ejen tempatan baru-baru ini, dan kesemua mereka hanya diberi amaran berhubung kesalahan itu. – Bernama