Selangor jinakkan Penang 4-1, rampas kedudukan kedua Liga Super

Selangor jinakkan Penang 4-1, rampas kedudukan kedua Liga Super


KUALA LUMPUR – Selangor FC merampas kedudukan kedua Liga Super selepas mengutip tiga mata menerusi kemenangan bergaya 4-1 ke atas Penang FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pasukan tuan rumah bermula garang apabila tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan pemain tengah Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ketiga.

Namun, Penang memberikan tentangan sengit yang berjaya menyekat Gergasi Merah daripada menambah jaringan sebelum berjaya menyamakan kedudukan selepas pemain import dari Brazil Rafael Vitor menyempurnakan penalti pada minit ke-63.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Yohandry Orozco kembali meletakkan skuad bimbingan Nidzam Jamil di depan menerusi penalti pada minit ke-70.

Menghampiri wisel penamat, Selangor menambah dua gol masing-masing menerusi Alvin Fortes pada minit ke-89 diikuti Quentin Cheng yang berjaya memperoleh gol pertama bersama kelab itu selepas meledak gol pada masa tambahan separuh masa kedua.

Selangor kini mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan, ketinggalan enam mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih belum tewas musim ini, sementara Penang di tangga kesembilan dengan mengumpul enam mata.

Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Sri Pahang FC terikat tanpa jaringan pada pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Keputusan itu menyaksikan KL City pula kekal di tangga kelima apabila mengumpul lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Sri Pahang yang berada di tangga ke-10 dengan mengumpul lima mata pula terus buntu mencari kemenangan selepas kalah dua kali dan seri sekali dalam tiga perlawanan terakhir. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top