Kuala Lumpur: Inovasi pendidikan tempatan sekali lagi membuktikan keunggulannya di pentas antarabangsa apabila alat bantu mengajar MR-2D Geo Kit hasil ciptaan pensyarah Universiti Malaya berjaya merangkul Anugerah Emas dalam pameran inovasi berprestij, International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2025, yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.
Kit ini adalah hasil inovasi oleh Dr. Razip Bajuri, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, dengan sokongan pasukan penyelidik daripada Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, dan bertujuan memperkasakan pemahaman konsep geometri dua dimensi dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Dengan menggabungkan elemen visual, manipulatif dan teknologi pendidikan terkini, MR-2D Geo Kit membolehkan pelajar meneroka konsep geometri secara interaktif dan menyeronokkan.
“MR-2D Geo Kit dibangunkan untuk menjadikan matematik lebih hidup dan mudah diakses oleh pelajar. Ia adalah hasil kajian dan pengalaman sebenar di bilik darjah, yang kini diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kami juga dalam perancangan untuk menghasilkan lebih banyak lagi inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bagi menyokong agenda negara memperkasakan pendidikan matematik,” jelas Dr. Razip yang juga merupakan seorang bekas guru Matematik di SMK Dato’ Seth, Johor, sebelum melanjutkan pengajian dan kerjayanya dalam bidang akademik.
Kit ini menekankan pendekatan berasaskan penerokaan dan pemikiran geometri, serta menggunakan kaedah penaakulan (method of reasoning) bagi membantu pelajar menguasai kefahaman mendalam terhadap konsep-konsep asas dan lanjutan dalam geometri dua dimensi. Selaras dengan visi dan matlamat Fakulti Pendidikan dan Universiti Malaya, usaha pembangunan MR-2D Geo Kit ini turut memperkukuh perancangan jangka panjang untuk membangunkan kaedah dan teknik pembelajaran matematik yang lebih menyeluruh dan inklusif. Perancangan ini melibatkan pembangunan bahan interaktif berasaskan penyelidikan, latihan guru berfokus kepada pedagogi inovatif, serta penerapan nilai kemanusiaan dalam pengajaran matematik agar subjek ini lebih bermakna dan relevan kepada kehidupan seharian pelajar.
Pameran ITEX 2025 menghimpunkan lebih 1,000 penyertaan daripada pelbagai institusi dan industri seluruh dunia, menjadikannya antara platform inovasi terulung untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan produk kreatif.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Universiti Malaya, malah menunjukkan bahawa inovasi dalam bidang pendidikan – terutamanya dalam subjek yang sering dianggap sukar seperti matematik – mampu memberikan impak besar sekiranya dibangunkan dengan pendekatan yang relevan dan mesra pelajar.
Maklumat lanjut mengenai inovasi ini boleh didapati melalui Dr. Mohd Razip Bajuri dan Dr. Ahmad Muhaimin Mat Jusoh dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Mereka boleh dihubungi di razip.bajuri@um.edu.my dan ahmadmuhaimin@um.edu.my