BAGAN DATUK: Kerajaan akan membantu pembinaan semula rumah 21 penduduk mangsa kebakaran di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini pada Sabtu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, belia meminta kerajaan Persekutuan dan negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan menyegerakan pembinaan semula rumah mangsa yang terlibat walaupun terdapat kekangan.
Menurutnya, antaranya ada kumpulan penduduk yang tidak mendaftar dengan ekasih dan kebanyakkan mereka bukan tergolong dalam kategori B40.
“Namun sebagai kerajaan yang prihatin, kita akan mencari jalan (membantu). Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan menyantuni masalah mereka dan kita akan selesaikan pembinaan semula rumah-rumah yang berkenaan, juga kedai dan tokong.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan juga Pengarah Pembangunan negeri dan mereka telah membentuk jawatankuasa bersama untuk menyegerakan pembinaan rumah penduduk terlibat.
“Saya minta kerja-kerja meratakan tanah dalam tempoh sebulan daripada sekarang dan cari peruntukan untuk pembinaan rumah cara standard, mengikut ukuran tanah berdasarkan kepada surat kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
“Peruntukan sedia ada kira-kira RM86,000 bagi setiap satu unit rumah tapi saya yakin wang derma yang dikumpul mungkin penduduk mahu membuat sambungan rumah, itu terserah kepada keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika melawat kawasan rumah yang terbakar di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kawasan penempatan tersebut merupakan tanah TOL dan terdapat 149 rumah keseluruhan.
Menurutnya, kebakaran Sabtu lalu melibatkan 21 rumah penduduk, sebuah tokong dan sebuah kedai dan kebakaran turut menyebabkan dokumen terutama surat kelahiran dan kad pengenalan mangsa juga musnah.
“Hari ini, jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan telah memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi sebuah keluarga, selain Persatuan Agama Buddha di sini juga menyerahkan bantuan sebanyak RM100,000 untuk tambahan kepada semua mangsa.
“KKDW, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan jabatan lain melakukan penyelarasan untuk kita serahkan land tittle TOL kepada tiap-tiap ketua keluarga yang terlibat kebakaran,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, perkara yang lebih penting ialah kerjasama daripada masyarakat pelbagai kaum di Bagan Pasir Laut yang membantu mangsa terutama menempatkan mangsa di rumah saudara mara dan kawan-kawan. – UTUSAN