PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memberikan pujian kepada kelab Arab Saudi, Al Hilal, selepas kelab dari England itu dikejutkan kekalahan 3-4 dalam Pusingan 16 Piala Dunia Kelab di Orlando.
Biarpun begitu, Guardiola mengakui beliau sama sekali tidak menjangkakan keputusan yang memeritkan itu.
“Sangat dikesali. Kami telah melalui perjalanan yang luar biasa bersama-sama dan berada di tahap yang sangat baik. Suasana dalam pasukan juga sangat positif. Saya tidak henti-henti ucapkan terima kasih kepada Manchester City, terutamanya kepada pemain-pemain atas latihan dan cara mereka bermain.
“Kami amat berharap untuk meneruskan perjuangan. Anda hanya berpeluang berada di sini sekali setiap empat tahun. Kami merasakan pasukan ini beraksi dengan baik, namun kini tiba masanya untuk pulang dan merehatkan minda kami demi musim baharu,” ujar Guardiola.
Sebelum perlawanan kalah mati ini, City cemerlang memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan, termasuk kemenangan 5-2 ke atas Juventus dalam perlawanan terakhir kumpulan, menjadikan mereka antara pasukan pilihan utama untuk merangkul gelaran juara.
Pengendali dari Sepanyol itu turut memuji cara pasukan bimbingan Simone Inzaghi menghukum mereka melalui serangan balas pantas.
“Kami terlalu terbuka. Apabila hantaran lintang tiba, pada serangan pertama, mereka mempunyai keupayaan untuk mengumpan bola dan menyerang dengan pemain-pemain pantas.
“Kami mencipta banyak peluang menentang pasukan yang bertahan sangat dalam. Mereka menghukum kami dalam transisi,” ujar Guardiola menganalisis kekalahan City.
PIALA DUNIA KELAB
PUSINGAN 16
KEPUTUSAN
Inter Milan 0-2 Fluminense
Al Hilal 4-3 Manchester City
SUKU AKHIR
SABTU (5 JULAI)
Al-Hilal lwn Fluminense, 3 pagi
Palmeiras lwn Chelsea, 9 pagi
AHAD (6 JULAI)
Paris Saint-Germain lwn Bayern Munich, 12 tengah malam