aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Olahraga Malaysia (MA) hari ini memutuskan untuk tidak menyambung kontrak Pengarah Teknikalnya, Robert Ballard di atas beberapa faktor.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MA bahawa khidmat Ballard tidak disambung selepas kontraknya tamat secara rasmi pada 31 Julai yang lalu.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat disebabkan oleh kekangan dana akibat kekurangan peruntukan daripada kerajaan dan penajaan swasta.
“Pihak MA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas dedikasi serta komitmen beliau sepanjang bersama MA.
“Kami mendoakan agar Ballard terus maju jaya dalam apa jua bidang yang akan diceburi selepas ini,” katanya.
Ballard sebelum ini kembali semula bersama MA sejak tahun 2023 dan memberikan sumbangan yang signifikan dalam pembangunan dan peningkatan prestasi atlet negara sepanjang tempoh dua tahun ini.
Beliau sebelum itu turut pernah bersama kem olahraga tempatan dan menyandang jawatan sama dalam MA apabila dilantik pada Februari 2014 sebelum berpisah dengan badan induk itu pada Disember 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd