Bangkok: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Suriya Jungrungreangkit, dijadual mengetuai menteri yang baharu dilantik ke majlis angkat sumpah pada Khamis.
Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata Suriya, yang juga memegang jawatan Menteri Pengangkutan, akan mengetuai menteri-menteri di hadapan hadirin diraja untuk mengangkat sumpah jawatan sebelum secara rasmi menyandang tugas mereka.
Suriya dijadual mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri selepas majlis angkat sumpah dengan agenda utama tertumpu kepada pendelegasian tanggungjawab dalam kalangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri, katanya.
Pada Selasa, Mahkamah Perlembagaan Thailand menggantung Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra daripada tugasnya sementara ia membincangkan petisyen yang difailkan oleh 36 senator, menuduhnya tidak jujur dan melanggar etika perlembagaan.
Dalam satu kenyataan, mahkamah berkata ia telah menerima petisyen untuk pertimbangan, sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri mempunyai 15 hari untuk mengemukakan pembelaan.
Juga pada Selasa, Warta Diraja menerbitkan pengesahan rasmi rombakan Kabinet, berikutan pemergian rakan gabungan utama dan kekosongan yang terhasil dalam beberapa portfolio menteri.
Paetongtarn, pemimpin Parti Pheu Thai berusia 38 tahun akan memegang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan susulan rombakan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd