Dortmund ke suku akhir, lepasi ranjau Monterrey

Dortmund ke suku akhir, lepasi ranjau Monterrey


Guirassy pacu Dortmund ke suku akhir Piala Dunia Kelab. Foto: Agensi

Borussia Dortmund menempah tiket ke suku akhir Piala Kelab Dunia selepas menangkis asakan hebat Monterrey dalam pertembungan mendebarkan pusingan 16 di Stadium Mercedes-Benz Arena, Atlanta, Georgia.

Kemenangan tipis 2-1 membolehkan gergasi Bundesliga Jerman kendalian Edin Terzic melengkapkan barisan lapan pasukan terbaik temasya 32 pasukan berkenaan.

Penyerang berbisa Dortmund, Serhou Guirassy, menjadi wira dengan dua jaringan klinikal pada minit ke-14 dan ke-24, memastikan Dortmund selesa mendahului pada separuh masa pertama.

Namun, Monterrey bangkit mengganas pada babak kedua apabila German Berterame merapatkan jurang pada minit ke-48.

Jaringan itu menyaksikan kelab Mexico itu terus menggandakan tekanan mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat.

Bagaimanapun pertahanan Dortmund kekal kental menahan asakan bertali arus lawan, sekali gus mengesahkan pertemuan suku akhir menentang juara Eropah 15 kali, Real Madrid, di New Jersey pada Ahad ini.

“Perlawanan ini sukar. Mereka adalah pasukan yang bagus dengan pemain-pemain berpengalaman.

“Saya rasa kami mempunyai separuh masa pertama yang sangat baik. Separuh masa kedua sedikit sukar, tetapi mentaliti kami cukup kental dan kami menang, jadi kami semua gembira malam ini,” ujar Guirassy yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

PIALA DUNIA KELAB

SUKU AKHIR

SABTU (5 JULAI)

Al-Hilal lwn Fluminense, 3 pagi

Palmeiras lwn Chelsea, 9 pagi

AHAD (6 JULAI)

Paris Saint-Germain lwn Bayern Munich, 12 tengah malam

Borussia Dortmund lwn Real Madrid, 4 pagi



Source link

OR

Scroll to Top