Salah ‘takut’ kembali ke Liverpool selepas Jota maut dalam kemalangan

Salah ‘takut’ kembali ke Liverpool selepas Jota maut dalam kemalangan


BINTANG Liverpool, Mohamed Salah meluahkan ‘ketakutannya’ untuk kembali ke kelab itu selepas kehilangan rakan sepasukan, Diogo Jota yang maut dalam satu kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva.

Jota dan Andre meninggal dunia pada awal pagi Khamis selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di sebuah lebuh raya di Sepanyol sebelum terbakar. Insiden menyayat hati itu mengejutkan dunia bola sepak, terutamanya penyokong dan pemain Liverpool.

Upacara penghormatan buat dua beradik itu diadakan di kapel di pinggir bandar Porto sebelum pengebumian yang dijadualkan pada Sabtu. Di Liverpool, para penyokong turut berkabung dan memenuhi pekarangan Anfield bagi memberikan penghormatan terakhir.

Kapten Liverpool, Virgil van Dijk berkata, dia berada dalam keadaan ‘amat terkejut dan sukar untuk mempercayai apa yang berlaku’ manakala Salah dalam satu hantaran di Instagram menyatakan kesedihannya yang mendalam.

“Saya benar-benar hilang kata-kata,” tulis penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu itu.

“Sehingga semalam, saya tidak pernah terfikir akan ada sesuatu yang buat saya takut untuk kembali ke Liverpool selepas rehat.

“Rakan sepasukan datang dan pergi, tapi bukan dengan cara ini. Sukar untuk terima kenyataan bahawa Diogo tidak akan ada bersama kami apabila kami kembali ke kelab.

“Fikiran saya bersama isterinya, anak-anaknya dan tentunya ibu bapa mereka yang kehilangan dua anak sekaligus. Mereka yang rapat dengan Diogo dan Andre amat memerlukan sokongan ketika ini. Mereka tidak akan dilupakan,” katanya.

Jota telah berkahwin dengan pasangannya, Rute Cardoso pada 22 Jun lalu dan sempat memuat naik video majlis perkahwinan mereka ke Instagram hanya beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.

Bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson turut hadir ke tapak peringatan sementara di Anfield bersama ribuan penyokong lain untuk memberikan penghormatan.

“‘Jots’, satu penghormatan dapat bermain bersamamu di atas padang, tapi lebih penting lagi, persahabatan kita. Semua gelak tawa yang kita kongsi di luar padang akan sentiasa saya kenang,” tulis pemain tengah Ajax dan England itu di Instagram.

Di luar Anfield, penyokong memenuhi kawasan dengan jambangan bunga, selendang dan jersi sebagai tanda penghormatan. Keadaan serupa juga dapat dilihat di Stadium Molineux.

Emma Dainty, 38, dari Liverpool berkata: “Seorang pemain hebat telah kehilangan nyawanya bersama adiknya. Ini satu tragedi besar yang tak sepatutnya berlaku. Dia bukan sekadar pemain bola kepada saya. Dia ada isteri, anak-anak, keluarga. Ia sangat menyayat hati,” katanya.

Seorang lagi penyokong, Richard Jones, 39, dari Chester berkata: “Kami datang untuk memberikan penghormatan dan meninggalkan bunga bagi menunjukkan rasa hormat kami terhadap kehilangan yang begitu tragik. Pada usia 28 tahun, di kemuncak kerjaya dan ia benar-benar menyedihkan,” katanya.

Joy Taylor, 65, pekerja kedai dari Liverpool berkata Jota adalah seorang pemain yang amat mengagumkan.

“Dia sangat profesional. Dan dia juga seorang pemain yang baik. Setiap kali melihat dia, dia sentiasa tersenyum,” katanya.

Liverpool turut membuka buku ucapan takziah dan menurunkan bendera separuh tiang. Beberapa pemain dijadualkan kembali menjalani latihan pramusim pada Jumaat namun fasa pertama telah ditangguhkan.

Perlawanan persahabatan pramusim pertama Liverpool yang dijadualkan menentang Preston pada 13 Julai juga berkemungkinan ditangguhkan.



Source link

OR

Scroll to Top