Skuad B-23 negara tundukkan PDRM FC

Skuad B-23 negara tundukkan PDRM FC


Aksi pemain Harimau Muda dan PDRM dalam perlawanan persahabatan petang tadi. FOTO: MALAYSIA NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan siri persiapan menjelang Piala ASEAN B-23 dengan kemenangan 1-0 ke atas pasukan PDRM FC dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong petang tadi.

Kemenangan itu menjadi suntikan semangat awal buat anak buah Nafuzi Zain menjelang kejohanan yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 15 Julai ini.

Bagaimanapun, pengendali Harimau Muda itu menegaskan masih banyak ruang perlu diperbaiki dalam tempoh beberapa hari latihan sebelum berlepas untuk mengharungi kejohanan serantau itu.

“Ini perlawanan pertama kita selepas berkumpul dan berlatih bersama. Ia lebih kepada menilai pemain dari segi pemahaman taktikal dan bagaimana latihan selama empat hari ini diterapkan dalam suasana perlawanan sebenar.

“Secara keseluruhan, saya nampak ada tanda positif. Pemain cuba melaksanakan apa yang dirancang.

“Walaupun belum sempurna, saya gembira kerana ada peningkatan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Beliau berkata, skuad Harimau Muda masih memiliki beberapa lagi aksi persahabatan yang akan dimanfaatkan untuk memperkukuh persefahaman dan kestabilan pasukan.

“Kita masih ada masa dan beberapa perlawanan persahabatan. Fokus kita sekarang adalah untuk membina keserasian serta meningkatkan tahap keyakinan pemain sebelum ke kejohanan sebenar,” ujarnya.

Selepas ini, skuad muda negara akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan menentang Melaka dan Negeri Sembilan sebelum bertolak ke Indonesia.

Dalam aksi Piala ASEAN itu nanti, Harimau Muda akan membuka tirai cabaran menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei pada 18 Julai, sebelum bertemu tuan rumah Indonesia pada 21 Julai.



Source link

OR

Scroll to Top