‘Jarang saya marah seperti ini’- Kompany

‘Jarang saya marah seperti ini’- Kompany


Musiala (kiri) mengalami kecederaan serius ketika menentang PSG. FOTO: AFP

PENGENDALI Bayern Munich, Vincent Kompany meluahkan rasa kecewa selepas pemain tengahnya, Jamal Musiala mengalami kecederaan ngeri ketika aksi Piala Dunia Kelab menentang Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain antarabangsa Jerman berusia 22 tahun itu dilihat terjatuh dan mengalami kecederaan buku lali yang serius selepas pertembungan tidak disengajakan dengan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma dalam perlawanan suku akhir yang dimenangi PSG 2-0 di Atlanta.

Musiala terpaksa dikeluarkan dengan pengusung dan digantikan oleh Serge Gnabry pada separuh masa kedua.

“Saya jarang marah sebegini ketika waktu rehat, bukan terhadap pemain saya.

“Ada banyak perkara dalam hidup yang lebih penting daripada ini, tetapi bagi pemain seperti mereka, bola sepak adalah hidup mereka.

“Seseorang seperti Jamal hidup untuk bola sepak, dan dia baru sahaja kembali daripada kecederaan sebelum ini,” katanya.

Kompany berkata, dia mahu pasukan Bayern menjadikan insiden kecederaan itu sebagai motivasi untuk terus berjuang menentang juara Eropah itu.

“Kita cuba dapatkan kekuatan daripada kejadian ini kerana kita mahu lakukannya demi Jamal.

“Ketika saya duduk di sini sekarang, perkara yang masih buat saya marah bukanlah keputusan perlawanan.

“Saya faham ini adalah bola sepak, tetapi hakikat ia terjadi kepada seseorang yang bukan saja cintakan permainan ini, malah sangat penting untuk pasukan kami, itulah yang menyakitkan.

“Ia nampak teruk… kelihatan seperti kecederaan pada buku lali, tetapi saya tidak mahu buat sebarang diagnosis,” katanya.

Pemain PSG turut menzahirkan sokongan terhadap Musiala yang dianggap antara bakat muda paling menyerlah dalam dunia bola sepak ketika ini.

“Salam takziah kepada Jamal Musiala yang mengalami kecederaan serius, ini sesuatu yang tidak kita mahu lihat di atas padang,” kata pertahanan PSG, Marquinhos kepada DAZN.



Source link

OR

Scroll to Top