Nafuzi kaji taktikal Garuda Muda

Nafuzi kaji taktikal Garuda Muda


Nafuzi (kiri) menyampaikan arahan kepada pemainnya sebelum aksi pemanas badan menentang PDRM FC di Shah Alam pada Sabtu. FOTO: Malaysia NT

PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mendedahkan barisan kejurulatihan kini giat menganalisis kekuatan dan kelemahan setiap pasukan lawan menjelang saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang akan bermula 15 Julai ini.

Menurutnya, aspek taktikal menjadi fokus utama dalam menilai corak permainan tiga pasukan yang bakal dihadapi dalam Kumpulan A iaitu Filipina, Brunei dan tuan rumah Indonesia.

“Memang itulah yang sedang kita teliti. Kita sedang menganalisis dan menilai setiap pemain serta cara permainan pasukan lawan.

“Setiap pasukan ada gaya permainan tersendiri. Jadi, kita perlu bersedia dari semua segi, termasuklah taktikal yang bakal digunakan oleh tiga lawan tersebut.

“Namun, dalam masa sama persediaan kita juga cukup penting untuk memastikan dapat beri aksi terbaik dalam kejohanan itu,” katanya.

Untuk rekod, Harimau Muda akan membuka tirai kempen Piala ASEAN B-23 menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai, sebelum berdepan cabaran sukar menentang Indonesia pada 21 Julai di Jakarta.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Nafuzi berkata kemenangan 1-0 ke atas pasukan Liga Super, PDRM FC dalam aksi pemanas badan memberikan suntikan keyakinan kepada barisan mudanya.

“Secara keseluruhan, saya nampak ada tanda-tanda positif. Pemain cuba melaksanakan perancangan taktikal yang kita tetapkan.

“Walaupun belum sempurna, saya tetap gembira kerana ada peningkatan dari satu perlawanan ke perlawanan lain,” katanya.

Beliau berkata, pasukan akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan menentang Melaka dan Negeri Sembilan sebelum berlepas ke Indonesia bagi menghadapi kejohanan tersebut.

“Dua perlawanan terakhir ini penting untuk saya menilai tahap kecergasan pemain, keupayaan bertahan serta ketajaman serangan. Dari situ, kita akan tentukan pemain mana yang sesuai dengan corak permainan yang kita mahukan,” ujarnya.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top