'Gergasi Lutut' derma hampir semua wang demi bantu mangsa banjir

'Gergasi Lutut' derma hampir semua wang demi bantu mangsa banjir


Beijing: Biarpun kurang upaya akibat jangkitan virus polio, seorang lelaki di China membuktikan keprihatinan dan semangat kemanusiaan tidak mengenal batas.

Hu Lei, 32, yang digelar ‘Gergasi Lutut’ kerana cara unik beliau bergerak menggunakan lutut, sanggup menggunakan hampir semua wang simpanannya untuk membantu mangsa banjir di barat daya China.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Hu membeli sebanyak 5,000 kilogram beras, 500 kotak mi segera, 500 botol air mineral, 100 obor dan 2,000 pasang sarung tangan, dengan dengan kos kira-kira 55,000 yuan (sekitar RM32,400).

Rakannya beliau turut menyumbang dengan membeli barangan bernilai 20,000 yuan (sekitar RM11,784).

Mereka memandu sebuah trak yang sarat dengan bekalan ke daerah Rongjiang yang dilanda banjir teruk dan menyerahkannya kepada kepada pihak berkuasa pada 29 Jun lalu, menurut laporan Jimu News.

Susulan itu, Hu hanya mempunyai baki 0.5 yuan (kira-kira RM0.30) dalam akaun banknya, kata laporan itu.

“Sama ada saya tidak menderma langsung, atau saya berikan segala-galanya,” katanya.

Hu yang berasal daripada keluarga miskin di wilayah autonomi Ningxia Hui di barat laut China, dikenali dan dikagumi ramai kerana sikapnya yang dermawan walaupun ada kekurangan fizikal.

Dia mencari rezeki dengan mengumpul barangan yang boleh dikitar semula dan menjual hasil kraftangan di gerai jalanan.

Walaupun pendapatannya tidak seberapa, Hu menderma satu juta yuan untuk membantu 500 pelajar miskin antara 2008 dan 2023.

Sebahagian daripada pendapatannya diperoleh daripada siaran langsung di media sosial dan subsidi daripada kerajaan untuk orang kurang upaya (OKU).

“Saya berasa sedih kerana melihat Rongjiang musnah teruk akibat banjir.

“Saya ada pelbagai penyakit, tetapi saya mesti berpegang kepada usaha amal. Terlalu ramai orang sudah membantu saya sejak kecil.

“Kerajaan juga memberi saya subsidi setiap bulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top