PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli menamatkan perlumbaan Pusingan Ketiga Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP di kedudukan ke-29 selepas terjatuh pada pusingan awal dalam aksi mencabar yang berlangsung dalam keadaan litar basah di Litar Magny-Cours, Perancis.
Mewakili pasukan SIC Racing – MSI, pelumba kelahiran Terengganu berusia 17 tahun itu mengakui kecewa dengan keputusan perlumbaan, namun tetap bersemangat untuk bangkit dalam perlumbaan seterusnya.
“Saya agak kecewa kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan yang baik selepas terjatuh seawal pusingan kedua.
“Keadaan litar yang basah akibat hujan menyebabkan saya kurang yakin, terutamanya pada bahagian tayar belakang yang terasa agak ‘loose’ setiap kali melengkapkan pusingan.
“Namun, saya cuba untuk kekal konsisten dan berjuang dalam kelompok hadapan, malangnya saya terjatuh. Saya akan terus beri tumpuan kepada perlumbaan seterusnya, Red Bull Rookies Cup minggu depan. Doakan kejayaan saya,” kata Hakim Danish.
Sebelum perlumbaan utama, Hakim Danish mengalami insiden kemalangan dalam sesi latihan bebas namun masih berjaya mencatat masa ke-14 terbaik, sekali gus melayakkan diri ke Sesi Kelayakan 2 bersama kelompok 14 pelumba terbaik.
Dalam sesi kelayakan yang berlangsung dalam keadaan cuaca kering, beliau menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatat masa kelima terpantas dan menempah petak kelima di barisan kedua untuk perlumbaan utama.
Namun, suasana perlumbaan berubah drastik apabila hujan turun sebelum perlumbaan bermula, menjadikan cabaran lebih sukar buat semua pelumba termasuk Hakim Danish.
Memulakan perlumbaan dengan baik, Hakim Danish berjaya berada dalam kelompok hadapan di selekoh pertama, namun diasak pelumba lain hingga tergelincir ke kedudukan keenam.
Malang tidak berbau apabila beliau terjatuh pada pusingan kedua yang mengakibatkan sedikit kerosakan teknikal pada jenteranya.
Meskipun begitu, Hakim Danish tetap menunjukkan semangat juang tinggi dengan meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat, menamatkan saingan di tempat ke-29.
Hakim Danish kini bersiap sedia untuk menyertai pusingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Litar Sachsenring, Jerman pada 12 dan 13 Julai ini, sebelum kembali ke perlumbaan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP Pusingan 4 di Motorland Aragon, Sepanyol pada 26 dan 27 Julai.
Sementara itu, Pengurus pasukan SIC Racing – MSI, Zulfahmi Khairuddin menyifatkan cabaran utama yang dihadapi pasukannya ialah ketiadaan data perlumbaan dalam keadaan hujan sepanjang minggu perlumbaan.
“Sepanjang minggu ini tiada satu pun sesi berlangsung dalam litar basah. Maka, apabila hujan sebelum perlumbaan, kami tidak mempunyai data mencukupi untuk menyesuaikan tetapan jentera yang terbaik.
“Kami cuba melakukan sedikit pelarasan di grid, dan meskipun ada peningkatan, ia masih belum mencukupi.
“Saya percaya Danish mempunyai kelebihan berlumba dalam keadaan basah, tetapi situasi kali ini benar-benar mencabar buat kami. Apa pun, ini adalah lumrah sukan permotoran, apa sahaja boleh berlaku. Kami akan terus berusaha dan kembali bersaing untuk kedudukan podium,” jelas Zulfahmi yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan padu kepada pasukan dan pelumba muda negara itu.