Jimenez kenang Jota ketika bantu Mexico julang Piala Emas

Jimenez kenang Jota ketika bantu Mexico julang Piala Emas


California: Penyerang Mexico, Raul Jimenez memberikan penghormatan penuh emosi kepada bekas rakan sepasukan di Wolves, Diogo Jota, ketika membantu negaranya menjulang Piala Emas CONCACAF selepas menewaskan Amerika Syarikat, semalam.

Dunia bola sepak masih berselubung duka susulan kematian tragis Jota, 28, dan adiknya, Andre Silva, 25, dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol minggu lalu — hanya beberapa hari selepas Jota melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Rute Cardoso.

Sepanjang minggu lalu, pelbagai pihak termasuk rakan sepasukan dan kelab ternama dunia menzahirkan penghormatan, dan kali ini giliran Jimenez memberi penghormatan penuh makna buat sahabat baiknya.

Pemain berusia 34 tahun itu yang kini beraksi bersama Fulham, mengenakan jersi tertera nama dan nombor Jota ketika berjalan masuk ke padang bagi perlawanan akhir menentang Amerika Syarikat.

Lebih menyentuh hati, Jimenez kemudian menyamakan kedudukan buat Mexico pada minit ke-27 menerusi jaringan dari jarak dekat dan terus melakukan gaya sambutan ikonik ‘FIFA’ milik Jota, iaitu mimik bermain permainan video, sama seperti Jota lakukan selepas menjaringkan gol kemenangan minit ke-94 ketika menentang Tottenham pada 2023.

Tidak cukup dengan itu, Jimenez turut meletakkan jersi Jota yang dipakainya semasa nyanyian lagu kebangsaan di atas padang ketika meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan.

Sebelum ini, Ousmane Dembele turut melakukan perkara sama dengan mengenakan jersi Jota ketika perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab membabitkan PSG menentang Bayern Munich, sebagai penghormatan kepada mendiang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top