Young Tigers pilih jalan sukar

Young Tigers pilih jalan sukar


Skuad Young Tigers wajib menang ke atas Uzbekistan untuk meraih slot ke separuh akhir Piala Asia B-18 di China pada Rabu. Foto FB MHC

SKUAD hoki remaja negara terlepas peluang untuk meneruskan momentum positif selepas tewas 1-3 di tangan Jepun dalam saingan Kumpulan B Piala Asia Bawah 18 Tahun (B-18) di China pada Isnin.

Keputusan itu menyaksikan skuad Young Tigers wajib mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Uzbekistan pada Rabu bagi merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Ketua jurulatih negara, Mohd Sufian Mohamad bagaimanapun tetap berpuas hati dengan aksi para pemain walaupun kecewa dengan beberapa peluang keemasan yang gagal diterjemahkan kepada jaringan.

“Saya sangat berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan para pemain. Mereka ikut perancangan dan strategi yang diatur, cuma mungkin hari ini nasib tidak menyebelahi kita.

“Kita ada beberapa peluang terhidang di depan gol, tetapi tidak dapat hasilkan jaringan. Harap ini jadi pengajaran untuk aksi penting seterusnya,” katanya.

Dalam aksi di Dazhou, skuad remaja negara terlebih dahulu berada di depan menerusi pukulan sudut penalti (PC) oleh Muhammad Safwan Salihe pada minit ke-11.

Namun, berselang dua minit, Jepun menyamakan kedudukan hasil jaringan Hiroki Toda.

Pasukan Negara Matahari Terbit itu kemudian menggandakan jaringan menerusi Toda sekali lagi pada minit ke-54, sebelum Fujiwara Yuma mengesahkan tiga mata berharga milik mereka dengan ledakan gol pada minit ke-58.

Saingan berdepan Uzbekistan pada Rabu menjadi misi hidup atau mati buat skuad negara untuk menamatkan saingan kumpulan dalam kelompok empat terbaik.

“Sasaran kita adalah ke separuh akhir. Kita tidak kisah siapa yang akan ditemui di kumpulan sebelah sana, yang penting pemain-pemain kekal fokus.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan. Kita akan susun semula strategi dan lakukan ‘comeback’ untuk perlawanan akan datang,” ujar Mohd Sufian.

Skuad Young Tigers sebelum ini memulakan kempen dengan langkah cemerlang apabila menewaskan Kazakhstan 4-0 pada Khamis, membelasah Indonesia 10-0 pada Jumaat, dan menewaskan Taiwan 11-1 pada Ahad.



Source link

OR

Scroll to Top