Kaherah: Satu kebakaran besar berlaku di sebuah pusat telekomunikasi utama di ibu negara Mesir pada Isnin, menurut kenyataan kerajaan wilayah Kaherah.
Ia menyebabkan gangguan besar terhadap perkhidmatan telefon dan Internet.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, seramai 14 orang cedera dalam kejadian itu.
Kebakaran bermula di tingkat tujuh bangunan pertukaran talian telefon yang mempunyai 10 tingkat itu di pusat bandar Kaherah, yang mana seorang wartawan AFP melihat asap hitam tebal menjulang dari kawasan itu.
Video yang dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan asap keluar dari tingkat atas bangunan itu, yang dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Pasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan televisyen negara Mesir melaporkan kebakaran berjaya dikawal.
Menurut Gabenor Kaherah, Ibrahim Saber, kebakaran itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitarnya.
Akhbar milik kerajaan, Al-Ahram, turut melaporkan kebakaran itu mengganggu perkhidmatan telefon dan Internet di seluruh ibu negara.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Penerbangan Awam memaklumkan gangguan pada rangkaian telekomunikasi dan Internet menyebabkan kelewatan beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Kaherah.
Bangunan Ramses Exchange, yang terbakar itu, adalah hab telekomunikasi penting dan memainkan peranan utama dalam infrastruktur Internet dan telefon di Mesir.
© New Straits Times Press (M) Bhd