Tempias positif revolusi Harimau Malaya

Tempias positif revolusi Harimau Malaya


Figueiredo antara pemain warisan Harimau Malaya yang dibawa masuk oleh JDT. Foto Johor Southern Tigers

PROJEK Revolusi Harimau Malaya yang kini giat membawa masuk pemain warisan bukan sahaja mengubah landskap skuad kebangsaan, tetapi turut memberikan tempias positif kepada kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, perkembangan ini boleh dianggap sebagai satu strategi ‘serampang dua mata’ yang menguntungkan kedua-dua pihak iaitu skuad kebangsaan dan JDT.

“Tempias ini bukan tempias negatif tetapi tempias yang baik. Bila ramai pemain warisan dibawa pulang, mungkin ada antara mereka yang tamat kontrak atau tidak lagi mendapat tempat di luar negara.

“Keadaan ini membuka peluang untuk JDT menjadi pangkalan utama kepada pemain-pemain ini, sekali gus menjadikan kelab tersebut sebagai ‘local base’ untuk Harimau Malaya.

“Kalau sebelum ini mereka berpangkalan di luar negara, kini dengan fasiliti serta struktur profesional JDT, ia boleh jadi tempat terbaik untuk mereka terus kekal kompetitif dalam sistem bola sepak kita sendiri.

“Ia juga menjadikan penyesuaian bersama para pemain Harimau Malaya yang berada di JDT lebih mudah dan menguntungkan Harimau Malaya,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, pasukan Harimau Selatan itu mengumumkan tiga pemain warisan skuad negara iaitu Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo sah menyertai pasukan itu untuk saingan liga musim ini.

Kehadiran mereka bersama beberapa pemain lain yang dibawa masuk oleh JDT musim ini memberikan impak apabila pasukan itu menunjukkan taring dalam aksi pramusim di Sepanyol menundukkan pasukan Real Murcia 4-0 dan Costa City 1-0.

Pekan juga menegaskan bahawa kehadiran pemain warisan dalam liga tempatan akan menyemarakkan lagi semangat jati diri dan patriotisme apabila mereka beraksi di hadapan penyokong tempatan.

“Apabila mereka bermain di sini, mereka lebih dekat dengan budaya, penyokong dan suasana bola tempatan. Ini penting untuk tanam rasa cinta pada negara,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top