JDT dan Selangor FC, bakal berentap bagi merebut Piala Sumbangsih dalam aksi pembuka tirai musim baharu Liga-M 2025/26 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos ini.
DUA gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, bakal berentap bagi merebut Piala Sumbangsih dalam aksi pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 Ogos ini.
Malah menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL), perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu turut diiktiraf sebagai aksi sulung Liga Super 2025/26, sekali gus menjadi penanda aras permulaan kempen baharu bola sepak tanah air.
“Musim 2025/26 akan berlangsung selama 10 bulan, tempoh yang lebih singkat berbanding musim transisi sebelum ini yang memakan masa 14 bulan, sebagai langkah penyesuaian kepada kalendar pertandingan domestik dan antarabangsa.
“Liga Super akan tamat pada 16 Mei 2026 dengan jadual lebih padat namun teratur, bagi memastikan kelancaran perjalanan musim serta keseimbangan terhadap komitmen pasukan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” menurut MFL.
Bagi saingan Piala FA, pusingan pertama akan bermula pada 15 Ogos 2025, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 14 Disember 2025.
Kejohanan berprestij Piala Malaysia pula akan membuka kempen pada 17 Januari 2026, sebelum melabuhkan tirai dengan perlawanan akhir pada 23 Mei 2026.
Sementara itu, Piala Cabaran akan memulakan saingan pada 6 Februari 2026, dengan dua perlawanan akhir secara timbal balik berlangsung pada 4 dan 18 April 2026.
Tambah MFL, pengumuman awal kalendar ini diharap dapat memberikan ruang yang mencukupi kepada semua pasukan untuk melakukan perancangan rapi dari segi latihan, logistik dan pengurusan pasukan menjelang sepak mula musim baharu.