suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang wanita yang sekian lama menderita akibat endometriosis kronik akhirnya berjaya menjalani prosedur pembedahan laparoskopi kompleks di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Jurucakap HCTM dalam satu kenyataan berkata, prosedur tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan HCTM UKM dengan penggunaan teknologi Indocyanine Green (ICG) bagi membantu mengenal pasti laluan tiub kencing dan mengurangkan risiko komplikasi semasa pembedahan.
Katanya, endometriosis adalah penyakit biasa dalam kalangan wanita usia reproduktif, dengan kadar satu daripada setiap 10 wanita berdepan dengan keadaan ini.
“Dalam kes ini, pesakit telah disahkan menghidap endometriosis sejak 2012 dan mengalami simptom teruk termasuk senggugut melampau serta haid berlebihan yang menjejaskan kualiti hidup.
“Beliau juga pernah menjalani beberapa pembedahan berkaitan ketumbuhan ovari namun tanpa perubahan ketara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, proses pembedahan terbabit telah diketuai oleh Pensyarah dan Pakar Perunding Ginekologi Onkologi, Profesor Dr. Nirmala Chandralega Kampan bersama Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Bedah Robotik dan Endometriosis dari Hospital Picaso, Dr. Sharifah Halimah Jaafar.
Katanya, keadaan pesakit menjadi lebih rumit apabila turut mengalami ‘frozen pelvis’, iaitu komplikasi yang menyebabkan organ-organ dalam pelvis melekat dan membentuk struktur konglomerat kompleks akibat tisu endometriosis.
“Hasil perbincangan menyeluruh antara pakar, satu pendekatan pembedahan dipilih melalui prosedur ‘ICG-Guided Total Laparoscopic Hysterectomy and Bilateral Salpingo Oophorectomy with Excision of Pelvic Endometriotic Tissue’.
“Prosedur selama tiga jam 45 minit itu berjaya disempurnakan tanpa sebarang komplikasi dan pesakit dibenarkan pulang pada hari kedua selepas pembedahan,” katanya.
Mengulas lanjut, HCTM berkata,kejayaan ini hasil inisiatif Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HCTM, Profesor Madya Dr. Ixora Kamisan Atan, menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara HCTM UKM dan Advanced Minimally Invasive Surgery, Robotic & Ablation Society of Gynaecologists Malaysia (AMRAS) yang ditandatangani tahun ini.
Katanya, kejayaan ini sekali lagi membuktikan keberkesanan pendekatan rawatan multidisiplin serta menonjolkan komitmen UKM dalam menyediakan perkhidmatan rawatan berteknologi tinggi kepada pesakit di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd