Ujian doping kuat kuasa di Piala Raja Thai 2025 – ISTAF

Ujian doping kuat kuasa di Piala Raja Thai 2025 – ISTAF


PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) akan melaksanakan ujian doping dalam Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025 ke-38 yang dijadualkan berlangsung di Hat Yai, Songkhla, Thailand dari 22 hingga 27 Julai ini.

Malah, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, semua kontinjen dan pegawai pasukan diwajibkan mematuhi Peraturan Anti-Doping ISTAF 2021 yang telah diedarkan oleh Sekretariat ISTAF.

Menurut beliau, setiap pengurus pasukan perlu menyerahkan Borang Pengisytiharan Anti-Doping ISTAF kepada Pegawai Anti-Doping ISTAF, Syed Azmir Syed Ahmad, semasa mesyuarat pengurus pasukan.

“Borang tersebut hendaklah disertakan bersama salinan pasport semua pemain yang terlibat dalam kejohanan,” katanya pada Khamis.

Jelas Halim, peraturan itu juga akan dikuatkuasakan selaras piawaian dan garis panduan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), dengan pelaksanaan program ujian doping dilakukan melalui kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Kebangsaan Thailand (NADO).

“Ujian doping akan dijalankan secara rasmi di lokasi kejohanan dan dikendalikan mengikut protokol pengujian dan penyiasatan seperti digariskan WADA. Analisis sampel pula akan dilakukan di makmal yang diiktiraf oleh badan berkenaan.

“Setiap atlet yang terpilih untuk menjalani ujian doping hendaklah ditemani oleh seorang pegawai pasukan sepanjang proses pengambilan sampel berlangsung. Pegawai Anti-Doping ISTAF akan membantu menguruskan keseluruhan proses tersebut yang akan dilaksanakan pada perlawanan akhir bagi setiap acara dalam kejohanan ini.

“Pihak pengurusan pasukan dan jurulatih diberi tanggungjawab penuh untuk memastikan pematuhan atlet terhadap ujian yang dijalankan,” katanya.

Tambah Halim, satu taklimat rasmi akan diadakan semasa mesyuarat pengurus pasukan bagi memastikan semua pihak benar-benar memahami peraturan dan tanggungjawab masing-masing pada 21 Julai ini.

“Taklimat itu akan memperincikan segala prosedur yang perlu dipatuhi sepanjang pelaksanaan program antidoping tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Halim turut mengingatkan bahawa sebarang pelanggaran terhadap Peraturan Anti-Doping ISTAF 2021 akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan yang telah ditetapkan.

Menurut Halim, antaranya termasuk penggantungan sementara atlet yang didapati positif terhadap bahan larangan atau kaedah terlarang, selain kemungkinan pembatalan keputusan serta penarikan balik pingat, mata dan hadiah yang diperoleh.

Lebih serius, tegas Halim, sekiranya lebih daripada dua pemain dalam sesebuah pasukan didapati melakukan pelanggaran antidoping dalam tempoh kejohanan, pasukan terbabit boleh dikenakan hukuman kolektif seperti pemotongan mata, pembatalan penyertaan atau penyingkiran terus daripada kejohanan.

Justeru Halim menyeru semua pasukan agar memandang serius perkara ini serta memastikan tahap pematuhan yang tinggi demi menjaga integriti sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, sebanyak 18 negara akan berentap dalam saingan Piala Raja Thai yang dijadualkan berlangsung di Pusat Beli-belah Central Festival, Hat Yai.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Laos, Myanmar dan Korea Selatan manakala tuan rumah yang juga juara bertahan berada dalam Kumpulan A bersama Brunei, Vietnam, India dan Singapura.

Sebagai rekod, Thailand muncul juara acara berpasukan setelah mengatasi Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) dalam edisi ke-37 lalu.

Dua acara Divisyen Perdana termasuk regu berpasukan wanita ialah kuadran (berempat) dan kuadran campuran manakala acara gelung (hoop) terbuka kepada semua negara peserta.

Acara kuadran lelaki menghimpunkan jagoan Thailand, Malaysia, Myanmar, Korea Selatan serta Singapura dalam Kumpulan A, menyaksikan dua pasukan teratas mara ke separuh akhir untuk berentap dengan Vietnam dan India yang dijangka mengungguli Kumpulan B.

Acara regu dan beregu Divisyen Perdana tidak akan diadakan kali ini, menyaksikan hanya Divisyen Satu mempertandingkan acara regu yang disertai Taiwan, Australia, Bangladesh, Iraq, Sri Lanka, Nepal, Perancis dan Pakistan.



Source link

OR

Scroll to Top