ISLAM merupakan agama yang menitikberatkan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan manusia, sejajar dengan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam konteks ini, usaha membanteras penggunaan rokok elektronik atau vape bukan sekadar isu kesihatan awam semata-mata, bahkan satu kewajipan agama bagi melindungi nyawa dan akal manusia daripada kemudaratan.
Ramai mufti negeri telah pun menyatakan pendirian bahawa penggunaan rokok elektronik adalah haram.
Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Selangor, Mufti Pulau Pinang dan Mufti Terengganu antara yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan rokok elektronik kerana jelas mendatangkan mudarat serta tidak membawa sebarang manfaat.
Sebagai contoh, Muzakarah Fatwa Negeri Selangor pada 2015 memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik adalah haram kerana:
1 – Mengandungi bahan kimia berbahaya seperti nikotin, formaldehid dan arsenik.
2 – Boleh menyebabkan ketagihan.
3 – Membawa risiko kepada kesihatan tubuh badan termasuk paru-paru dan jantung.
4 – Menjadi pintu masuk kepada penggunaan dadah dan bahan terlarang dalam kalangan remaja.
Pandangan ini disokong oleh prinsip fiqh “Dar’u al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih” yang bermaksud menolak kemudaratan didahulukan berbanding mengambil manfaat.
Oleh disebabkan rokok elektronik terbukti membawa lebih banyak keburukan, maka ia wajib dielakkan.
Kemudaratan kesihatan dan sosial
Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 mendedahkan bahawa 14.9 peratus remaja sekolah menengah di Malaysia adalah pengguna rokok elektronik dan ia satu peningkatan drastik daripada hanya 9.8 peratus pada tahun 2017.
Malah remaja perempuan menggunakan rokok elektronik meningkat 3.65 kali ganda berbanding rokok biasa, suatu angka yang sangat membimbangkan dari sudut kesihatan reproduktif dan masa depan generasi wanita Muslim.
Cecair rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin tetapi turut dicampur bahan terlarang seperti ganja, dadah sintetik, anestetik dan bahan kimia toksik.
Kes keracunan dan masalah paru-paru serius seperti EVALI (e-cigarette or vaping product use-associated lung injury) semakin banyak direkodkan.
Ini semua bukan lagi isu teori, tetapi realiti lapangan yang dihadapi para petugas kesihatan dan penguat kuasa setiap hari.
Ancaman kepada Maqasid Syariah
Rokok elektronik merupakan ancaman kepada Maqasid Syariah merangkumi semua aspek:
1 – Menjaga nyawa (Hifz an-nafs)
Rokok elektronik terbukti merosakkan paru-paru dan boleh membawa maut. Kes kematian akibat penyakit paru-paru berkaitan rokok ini banyak dilaporkan di dalam dan luar negara. Menjauhinya adalah kewajipan demi menjaga nyawa.
2 – Menjaga akal (Hifz al-‘aql)
Kandungan bahan kimia dan dadah dalam rokok elektronik mengganggu fungsi otak dan menyebabkan ketagihan terutama dalam kalangan remaja yang otaknya masih berkembang.
3 – Menjaga keturunan (Hifz an-nasl)
Remaja perempuan yang menghisap rokok elektronik berisiko tinggi menghadapi masalah kesuburan dan komplikasi kehamilan di masa depan. Ini memberi kesan jangka panjang kepada kesinambungan zuriat yang sihat.
4 – Menjaga harta (Hifz al-mal)
Wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok elektronik satu pembaziran. Ia bertentangan dengan prinsip jangan membazir.
5 – Menjaga agama (Hifz ad-din)
Apabila seseorang terjebak dalam ketagihan rokok elektronik dan dadah, mereka sering lalai daripada solat, menangguh ibadah dan akhirnya menjauhi nilai Islam secara keseluruhan.
Seruan kepada ummah dan pihak berkuasa
Sudah tiba masanya umat Islam dan para pemimpin masyarakat mengambil pendirian tegas. Larangan terhadap penjualan rokok elektronik perlu diperluaskan di seluruh negara.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu semak semula lesen perniagaan dan menutup kelompongan yang membolehkan penjualan rokok elektronik secara tidak langsung.
Ibu bapa, guru, imam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu memainkan peranan aktif memberi kesedaran kepada remaja bahawa rokok elektronik ini bukanlah gaya hidup moden atau “trendy”, tetapi jerat halus ke arah kerosakan diri dan agama.
Kesimpulannya, membasmi rokok elektronik bukan sekadar perjuangan kesihatan awam, tetapi usaha suci dalam menjaga Maqasid Syariah.
Ia menuntut tindakan kolektif, kesungguhan politik dan kekuatan iman. Semoga masyarakat Islam bangkit menyelamatkan generasi muda daripada perangkap rokok elektronik dan kembali kepada gaya hidup yang sihat, bersih dan diberkati.
***PROF MADYA DR ABDUL RAHMAN RAMDZAN merupakan Pensyarah Kanan Perubatan & Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah