New Jersey: Panas terik bukan saja menjejaskan prestasi pemain, malah boleh mengancam nyawa, itu mesej tegas yang disuarakan tonggak tengah Chelsea, Enzo Fernandez susulan cuaca melampau yang melanda Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.
Dalam nada kecewa, Fernandez mendedahkan dia hampir rebah akibat pening kepala ketika aksi separuh akhir menentang Fluminense di Stadium MetLife, yang berlangsung dalam suhu melebihi 35 darjah Celsius dengan kelembapan lebih 54 peratus.
“Terus terang saya cakap, panas dia luar biasa. Saya sampai kena baring sebab pening sangat. Bermain dalam cuaca macam ini sangat berbahaya, bukan saja untuk pemain tapi untuk semua orang yang datang ke stadium,” katanya.
Piala Dunia Kelab edisi sulung 32 pasukan yang disifatkan sebagai ujian awal kepada Piala Dunia 2026 itu terus mengundang kritikan susulan isu kebajikan pemain, cuaca ekstrem dan kehadiran penonton yang dingin.
Fernandez berharap penganjur mempertimbangkan perubahan jadual agar aksi dapat berlangsung dalam suhu lebih bersesuaian demi menjaga kualiti permainan dan keselamatan pemain.
“Kita nak pentas ini jadi tontonan menarik, tapi kalau semua jadi perlahan sebab cuaca, apa maknanya?” kata pemenang Piala Dunia 2022 itu lagi.
Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca turut melahirkan kebimbangan apabila berkata sesi latihan petang di Philadelphia sebelum ini ‘mustahil’ untuk dijalankan kerana suhu terlalu tinggi.
Sementara itu, pemain pertahanan Chelsea, Levi Colwill berkata, dia sendiri berasa kasihan melihat rakan sepasukan bertarung dalam cuaca panas keterlaluan.
“Saya tengok perlawanan itu dan saya sendiri rasa tak tahan tengok… tapi mereka tetap beraksi dengan baik,” katanya.
Chelsea dijadualkan menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab, Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






