Malaga tarik diri jadi tuan rumah Piala Dunia 2030

Malaga tarik diri jadi tuan rumah Piala Dunia 2030


Malaga: Bandar Malaga secara rasmi menarik diri daripada senarai venue tuan rumah Piala Dunia 2030 yang akan dianjurkan bersama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi, selepas mempertimbangkan kesan terhadap kelab bola sepak tempatan dan penyokong mereka.

Keputusan itu diumumkan Datuk Bandar Malaga, Francisco de la Torre, yang menyifatkan ia sebagai langkah paling bertanggungjawab dan berhemah demi kepentingan jangka panjang.

“Kalau perlu pilih antara Piala Dunia dan kelab, kami pilih kelab dan penyokong,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Malaga dan kerajaan wilayah Andalusia.

Stadium utama Malaga, La Rosaleda, adalah antara 11 venue dicadangkan Sepanyol kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), namun memerlukan kerja pembinaan semula berskala besar dengan anggaran kos mencecah €270 juta (RM1.38 bilion).

Akibatnya, Malaga CF terpaksa berpindah ke stadium sementara berkapasiti hanya 12,500 tempat duduk, sedangkan kelab itu mempunyai lebih 26,000 pemegang tiket bermusim.

“Kami bukan buat keputusan ini untuk jimat kos, tapi demi masa depan kelab dan keselesaan penyokong,” tegas de la Torre.

“Kami tetap akan bina stadium baharu, tetapi bukan demi Piala Dunia. Itu komitmen kami.”

Sebelum ini, organisasi Piala Dunia 2030 Sepanyol turut terpalit kontroversi, apabila ketua jawatankuasa penganjuran, Maria Tato, meletakkan jawatan selepas dituduh memanipulasi proses penilaian stadium.

Media tempatan El Mundo mendakwa penarafan venue diubah untuk memberi kelebihan kepada Anoeta di San Sebastian, dan menolak Balaidos di Vigo.

Kini, antara bandar yang disebut bakal menggantikan Malaga ialah Vigo dan Valencia, dengan Valencia baru-baru ini menyelesaikan pembiayaan stadium baharu Nou Mestalla yang dijangka siap menjelang 2027, berkapasiti 70,000 tempat duduk.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top