NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan penuh bagi mendapatkan penyerang prolifik liga Portugal Sporting CP, Viktor Gyokeres, selepas rundingan antara kedua-dua kelab menunjukkan perkembangan positif.
Difahamkan, kelab utara London Liga itu bakal membayar yuran asas berjumlah £55 juta (RM333 juta) untuk penyerang kebangsaan Sweden berkenaan, manakala tambahan insentif sebanyak £8.6 juta (RM52 juta) sedang dimuktamadkan.
Perkembangan penting dalam rundingan ini berlaku selepas ejen Gyokeres bersetuju untuk mengetepikan komisen yang sepatutnya diterima daripada perpindahan tersebut.
Keputusan itu sekali gus membantu mengurangkan jumlah bayaran dijamin yang perlu dibayar oleh Arsenal, tanpa menjejaskan nilai yang diterima oleh Sporting yang pernah dibimbing Ruben Amorim yang kini bersama Manchester United.
Menandatangani seorang penyerang merupakan keutamaan Arsenal dalam jendela perpindahan kali ini, dengan kelab itu sebelum ini turut mengkaji kemungkinan mendapatkan Benjamin Sesko dari gergasi Bundesliga Jerman, RB Leipzig.
Pada bulan lalu, Presiden Sporting, Frederico Varandas secara terbuka menafikan wujudnya ‘perjanjian lisan’ antara kelab itu dan ejen Gyokeres, yang kononnya membenarkan pemain itu meninggalkan kelab Portugal tersebut dengan harga tetap £50.8 juta (RM307.6 juta) serta tambahan £8.4 juta (RM50.9 juta).
Malah, Varandas menegaskan bahawa pemain tersebut tidak akan dilepaskan dengan harga di bawah £59 juta (RM357 juta).
Gyokeres, 26, menyertai Sporting dari Coventry City dengan pada tahun 2023 dan sejak itu telah meledak 97 gol dalam hanya 102 perlawanan dalam semua kejohanan sepanjang dua musim di Lisbon.
Musim lalu sahaja, beliau menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan termasuk hatrik ketika menewaskan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus membantu Sporting menjulang kejuaraan Liga Portugal dan Piala Portugal.
Jika perpindahan ini dimuktamadkan, Gyokeres bakal kembali ke kancah bola sepak Inggeris selepas pernah beraksi bersama Brighton & Hove Albion pada 2018 sebelum dipinjamkan ke kelab Jerman, St Pauli dan Swansea City serta akhirnya menyertai kelab Liga Kejuaraan, Coventry secara tetap.
Sepanjang dua setengah musim bersama Coventry, beliau menjaringkan 43 gol dalam saingan tahap dua England berkenaan.
Usaha mendapatkan Gyokeres hadir dalam tempoh sibuk buat Arsenal yang aktif membawa masuk beberapa pemain baharu pada musim panas ini.
Setakat ini, The Gunners telah mengesahkan ketibaan pemain tengah Real Sociedad, Martin Zubimendi dengan nilai £51 juta (RM309 juta), selain turut memperkukuh posisi tengah menerusi pembelian Christian Norgaard dari Brentford berjumlah £15 juta (RM91 juta).
Di posisi penjaga gol, Arsenal mendapatkan Kepa Arrizabalaga dari Chelsea dengan nilai £5 juta (RM30 juta), manakala kelab itu juga semakin hampir untuk mendapatkan seorang lagi pemain dari Chelsea, Noni Madueke menerusi perjanjian bernilai £52 juta (RM315 juta).