Zehra Zambri harap kes cerai dapat diselesaikan segera

Zehra Zambri harap kes cerai dapat diselesaikan segera


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Bangi: Penyanyi Zehra Zambri, 38, berharap kes perceraian yang difailkannya terhadap suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, akan dapat diputuskan melalui lantikan Hakam Islah pada 13 Ogos depan.

Zehra yang ditemui media di Mahkamah Rendah Hulu Langat di sini, hari ini berkata, buat masa ini dia memang memberi fokus untuk kes perceraian itu dapat diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu mengulas lebih mengenai kes ini (perceraian) kerana masih lagi dalam perbicaraan. Cuma, saya memang ingin ia diselesaikan segera dan sebab itu juga saya failkan secara ‘fast track’.

“Tetapi, nampaknya masih berlarutan sampai sekarang dan semoga ia dapat berakhir pada 13 Ogos nanti,” katanya kepada Harian Metro selepas mengikuti pembentangan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes perceraian yang difailkan pada 7 Mac lalu.

Ditanya juga mengenai kesihatan anaknya, Zahiyah Iqleela kini berusia dua tahun yang difahamkan sakit baru-baru ini, Zehra memaklumkan kanak-kanak itu sudah pun dibenarkan keluar dari hospital.

“Memang betul anak saya sakit dan dimasukkan ke wad untuk rawatan baru-baru ini sebab ada kahak di dalam paru-parunya. Tapi, sekarang dia (anak) sudah dibenarkan balik ke rumah pun.

“Anak saya berada dalam wad dari 10 Julai sampai 13 Julai lalu, tiga hari saja dan bapa dia (Iqwan) ada datang jaga untuk satu malam. Cuma, segala urusan anak, memang saya yang uruskan sendiri daripada A sampai Z,” katanya lagi.

Ditanya juga mengenai tanggungjawab Iqwan terhadap kebajikan anak mereka sejak kes perceraian itu, Zehra mendakwa dia terpaksa menagih kewangan daripada suaminya, selain terpaksa mendahulukan duit sendiri.

“Bercakap soal kebajikan anak, dia (Iqwan) pernah sebelum ini hampir lebih sebulan tidak datang menjenguk anak. Malah, kalau bab keperluan anak seperti susu dan ‘pampers’ (lampin pakai buang), saya yang perlu dahulukan duit sendiri.

“Tapi, kemudiannya baru saya ‘claim’ semula dengan dia (Iqwan). Namun, susah jugalah nak minta, ibarat perlu mengemis terlebih dahulu dan dia juga ada minta pengurangan (bayaran),” katanya.

Menurut Zehra, dia bagaimanapun tidak akan sesekali menghalang Iqwan bertemu dengan anak mereka walaupun hubungan perkahwinan dibina sejak tiga tahun lalu kini dalam proses perceraiann.

Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada Mac lalu dengan lima tuntutan dibuat terhadap lelaki itu, antaranya dakwaan berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga.

Bagaimanapun, hari ini Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh perbicaraan perceraian mereka yang akan dilakukan secara Hakam Islah daripada lantikan mahkamah.

Hasil daripada pembentangan keputusan JKP hari ini, pihak mahkamah juga mendapati ada berlakunya Syiqaq iaitu tiada persefahaman yang berpanjangan antara Zehra selaku plaintif dan Iqwan (defendan).

Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top