Kes program motivasi rumah tangga: Dua saksi baharu dipanggil JAIS esok

Kes program motivasi rumah tangga: Dua saksi baharu dipanggil JAIS esok


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil dua orang saksi baharu esok bagi membantu siasatan berhubung program motivasi rumah tangga kontroversi yang didakwa mengandungi unsur lucah dan jelik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan perkara itu dan berharap supaya kedua-dua saksi itu akan hadir untuk melancarkan proses siasatan.

“Ya, esok Bahagian Penguatkuasaan JAIS akan panggil kedua-dua saksi itu.

“Setakat ini saya boleh cakap bahawa siasatan itu telah dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pra-pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau turut mendedahkan dua wanita yang juga pengadu awal dalam kes ini, kini enggan hadir untuk memberikan maklumat lanjut kepada JAIS.

“Saya dimaklumkan di bahagian penguatkuasaan yang kedua-dua pengadu (awal) ini enggan untuk hadir.

“Jadi saya harap, untuk kita perjelaskan isu ini dan kebenaran itu boleh kita zahirkan, amat penting untuk pihak-pihak yang menjadi saksi untuk tampil ke depan membantu bahagian penguatkuasaan JAIS,” katanya.

Mohd Na’im berkata, siasatan yang profesional adalah penting bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak yang dizalimi dalam isu ini.

Beliau berkata, siasatan oleh JAIS dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu berkaitan doktrin palsu, di samping kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyiasat dari sudut Kanun Keseksaan.

“Saya harap sangat mereka-mereka yang terbabit yang ada maklumat untuk tampil ke depan untuk bantu memberikan maklumat yang benarlah kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS, supaya isu ini dapat dirungkai dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh pasangan suami isteri.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook pengguna terbabit, turut didakwa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.

Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.

Selain itu, peserta turut diarahkan melakukan upacara ‘mandi suci’ dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top