Cobra naib juara Liga Ragbi MSNS – KRS 2025. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB (Gambar Kecil: Wan Norsyahmi.)
PENGENDALI Cobra, Wan Norsyahmi Wan Daud menyifatkan pasukannya telah menunjukkan komitmen tinggi meskipun terpaksa akur dengan kekalahan kepada KL Tigers dalam perlawanan akhir Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) – Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2025.
Menurut Wan Norsyahmi, walaupun pasukannya dikejutkan dengan cubaan awal permainan, para pemain berjaya bangkit dan memberikan saingan sengit sepanjang baki perlawanan.
“Saya berpuas hati dengan komitmen pemain. Kami kena try pada minit pertama dan mungkin ketika itu pemain agak gemuruh. Namun selepas 15 minit, barulah mereka mula stabil dan mengikut perancangan asal,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Beliau turut mengakui bahawa KL Tigers tampil lebih tersusun dan berorganisasi, serta berjaya mengambil kesempatan atas beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pasukan Cobra.
“Mereka memang well-prepared. Kita pula terpaksa berdepan dengan kekurangan pemain berpengalaman dan bergantung kepada pemain muda. Namun saya percaya pemain muda ini akan dapat bimbingan daripada senior untuk lebih matang musim depan,”tambahnya.
Menyentuh tentang perancangan masa depan, Wan Norsyahmi berkata, sebahagian besar pemain sedia ada dijangka akan dikekalkan bagi musim akan datang, namun beberapa pemain baharu mungkin ditambah bagi memperkukuh kekuatan pasukan.
Edisi 2025, KL Tigers bimbingan Zane Gardiner itu sekali lagi tampil garang apabila menewaskan Cobra 23-15 dalam aksi final Kategori Cup di Padang Astaka, Petaling Jaya.