Putrajaya: Perjuangan menentang rasuah bukan semata-mata kewajipan moral tetapi merupakan pemacu kepada pembangunan ekonomi yang mantap, inklusif dan mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di sini, hari ini, Perdana Menteri menekankan bahawa rasuah dalam semua bentuknya merupakan ancaman secara langsung kepada kemajuan ekonomi dan keharmonian negara.
“Ia meningkatkan kos menjalankan perniagaan, menjejaskan persaingan adil, menyekat inovasi dan menghalang pelaburan domestik dan asing.
“Rasuah membawa keluar dana awam daripada sektor penting seperti infrastruktur kritikal, pendidikan berkualiti dan kemudahan akses kesihatan,” katanya.
Anwar berkata, rasuah mewujudkan medan permainan yang tidak sekata, merugikan perniagaan beretika dan menghalang pengagihan manfaat ekonomi yang saksama.
Tambahan pula, ia sering membawa kepada keputusan tidak tepat yang mengeksploitasi sumber negara tanpa mengambil kira generasi akan datang, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd