Ramadhan tak sabar saingi Arif Aiman

Ramadhan tak sabar saingi Arif Aiman


Ramadhan perkuatkan cabaran DPMM FC dalam saingan Liga-M 2025/26.

PENYERANG muda Indonesia, Ramadhan Sananta mengakui kehadiran ramai pemain bintang dalam Liga Malaysia (Liga-M) menjadi faktor utama yang mendorongnya menyertai DPMM FC dari Brunei Darussalam bagi saingan musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu tampil buat kali pertama dalam Liga-M dan tidak menyembunyikan keterujaannya untuk berentap dengan kelab-kelab ternama bermula Ogos ini.

Menurut Ramadhan, beliau sedar akan kualiti tinggi yang dimiliki oleh pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan beberapa kelab lain yang menjadikan Liga-M medan ideal untuknya mengasah kemampuan sebagai penyerang.

Antara nama yang menarik perhatiannya ialah Arif Aiman Mohd Hanapi serta bekas rakan sepasukannya di Persis Solo, Moussa Sidibe, yang kini menjadi tonggak utama di JDT.

“Dorongan saya ke sini kerana saya tahu saingan dalam Liga Malaysia sangat mencabar.

“Setiap kelab mempunyai kualiti tersendiri, corak permainan yang tersusun dan pemain-pemain yang berteknik tinggi.

“Tambahan pula, usia saya masih muda, jadi saya perlu ada keyakinan untuk keluar dari zon selesa dan mencuba cabaran baharu di luar negara,” katanya.

Ramadhan menegaskan bahawa beliau hadir ke Liga-M bukan sekadar untuk mencuba nasib, sebaliknya mahu memberi sumbangan besar kepada DPMM FC dan membuktikan keupayaannya di pentas lebih kompetitif.

“Saya mahu bantu kelab ini sebaik mungkin dan tidak sabar untuk beraksi menentang bekas gandingan saya, Moussa (Sidibe).

“Saya juga mahu melihat sendiri kemampuan pemain seperti Arif Aiman yang sentiasa menjadi bualan, selain ramai lagi pemain berbakat di sini,” ujar Ramadhan.

Ramadhan merupakan antara penyerang muda yang menyerlah di Indonesia dengan ketajaman penyudah serta kebijaksanaan mencipta peluang di dalam kotak penalti.

Namanya melonjak selepas menjadi tonggak utama skuad bawah 23 tahun Indonesia yang menjuarai Sukan SEA 2023, termasuk meledak dua gol dalam kemenangan 5-2 ke atas Thailand pada perlawanan akhir.

Selain itu, Ramadhan turut menjaringkan gol buat skuad senior Garuda ketika menewaskan Vietnam 3-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus membuktikan statusnya sebagai antara penyerang masa depan paling berbisa di rantau Asia Tenggara.



Source link

OR

Scroll to Top