Noraqilah (kanan) dan Aina mengintai peluang untuk berada di podium dalam saingan Badminton Remaja Asia di Solo.
BEREGU remaja negara, Noraqilah Maisarah Ramdan dan Nur Aina Maisarah Hatta selesa dilabel ‘underdog’ menuju ke Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Solo, Indonesia bermula Jumaat ini.
Ketika tumpuan diberikan kepada pasangan pilihan, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu, mereka dalam diam mengintai peluang untuk mencabar rakan sepasukan itu untuk naik podium.
Sebagai pasangan remaja nombor dua negara, Noraqilah,18,-Aina,16, tidak kisah fokus diberikan pada Dania-Zi Yu yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Remaja Dunia tahun lepas.
“Dania-Zi Yu merupakan pasangan pilihan. Saya rasa semua perhatian akan tertumpu kepada mereka.
“Bagi kami, tiada tekanan. Jadi kami akan berikan yang terbaik dan tunjukkan bahawa kami layak berada di pentas ini,” katanya.
Kejohanan tersebut membuka tirai dengan acara berpasukan campuran dari 18 hingga 22 Julai, diikuti saingan individu bermula 23 hingga 27 Julai.
Biarpun baru digandingkan pada April lalu selepas Aina menyertai skuad junior kebangsaan, namun mereka sudah memperagakan aksi membanggakan.
Mereka membuat kejutan apabila melangkah ke final Terbuka Slovakia pada Mei lepas.
Noraqilah-Aina tidak berhenti di situ apabila mara ke suku akhir pada Kejohanan Terbuka Austria dan Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia.
“Kami tidak sangka boleh sampai ke perlawanan akhir di Slovakia kerana kami masih pasangan baharu.
“Bagi kejohanan Remaja Asia, kami ada misi tersendiri. Kami ingin menamatkan saingan di podium,” ujar Noraqilah.