Bahaya ajaran sesat bertopeng motivasi

Bahaya ajaran sesat bertopeng motivasi


SATU pendedahan berhubung pasangan suami isteri yang disyaki menyebarkan ajaran menyeleweng menerusi program motivasi rumah tangga menimbulkan keresahan awam, khususnya umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu isu serius yang memerlukan kerjasama antara agensi agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Program berkenaan, menurut laporan media, menyasarkan golongan wanita bekerja dan pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga, dengan pendekatan spiritual yang dikatakan mengandungi unsur batin yang menyesatkan.

Lebih membimbangkan, program ini berselindung di sebalik istilah mesra emosi seperti ‘keluarga bahagia’, ‘seni cinta’ dan ‘motivasi perkahwinan’, tetapi menyampaikan fahaman yang bertentangan dengan asas akidah Islam.

Kesesatan berselindung di balik nama cinta

Fenomena ini mencerminkan bahaya ajaran songsang yang menggunakan kaedah moden seperti seminar, bengkel dan terapi spiritual sebagai saluran penyebaran.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin mencari penyelesaian kepada tekanan mental, konflik emosi dan keretakan perkahwinan, ajaran sesat ini menyusup masuk dalam bentuk yang sukar dikesan.

Al-Quran memberi amaran: “Dan inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia. Dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan itu menceraikan kamu dari jalan-Nya.” (Surah al-An’am:153)

Ayat ini menegaskan bahawa umat Islam tidak dibenarkan mengikuti sebarang ajaran yang tidak bersumberkan wahyu. Namun, ada yang terpedaya dengan pendekatan beremosi, persembahan meyakinkan serta keghairahan mengejar “ketenangan segera” tanpa merujuk kesahihan ilmu.

DIFAHAMKAN unsur agama lain selain Islam dibawa masuk ke dalam modul program motivasi berkenaan. Foto Canva

Nabi Muhammad SAW telah memberi amaran: “Barang siapa mengada-adakan dalam urusan agama ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini jelas menolak sebarang bentuk amalan agama atau pendekatan kerohanian yang direka tanpa asas syarak.

Pandangan ulama kontemporari

Ulama terkemuka seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan gejala ini sebagai al-din al-muzayyaf – agama yang dipalsukan melalui retorik tanpa sandaran ilmiah. Beliau menegaskan bahawa penggunaan istilah cinta, energi atau ketenangan batin perlu ditapis melalui manhaj Islam yang sahih.

Sheikh Sa’id Ramadhan al-Buti pula mengkritik keras kecenderungan masyarakat mencari pendekatan spiritual tanpa guru mursyid yang sah atau tanpa disiplin ilmu.

Beliau menekankan bahawa penyucian jiwa tidak boleh dilakukan melalui jalan pintas atau jalan ghaib yang tidak dapat dinilai melalui syariat.

Psikospiritual Islam sebagai alternatif sahih

Dalam menangani masalah tekanan emosi, kegagalan rumah tangga dan kekosongan jiwa, Islam sebenarnya telah menyediakan pendekatan psikospiritual yang seimbang dan sahih. Antaranya termasuklah:

1. Tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa)

2. Zikir dan ruqyah syar’iyyah

3. Tafakkur dan tadabbur al-Quran

4. Taubat dan muhasabah diri

BERTAUBAT dan kembalilah kepada ajaran Islam sekiranya pernah terlibat dengan program motivasi berkenaan. Foto Canva

BERTAUBAT dan kembalilah kepada ajaran Islam sekiranya pernah terlibat dengan program motivasi berkenaan. Foto Canva

Pendekatan ini bukan sahaja berasaskan wahyu, malah terbukti secara saintifik memberi kesan positif terhadap kestabilan emosi dan kesejahteraan hidup.

Kajian oleh Dr. Harold Koenig dari Duke University mendapati bahawa individu yang mengamalkan keagamaan yang konsisten mempunyai risiko kemurungan lebih rendah dan daya tahan lebih tinggi ketika berdepan krisis hidup.

Sementara itu, Dr. Kenneth Pargament, pakar psikologi spiritual dari Bowling Green State University, menegaskan bahawa coping mechanisms yang berpaksikan agama menghasilkan pemulihan jiwa yang lebih berkesan berbanding pendekatan spiritualiti bebas (non-theistic spirituality).

Peranan pihak berkuasa dan masyarakat

Pihak berkuasa seperti Jakim dan jabatan mufti negeri perlu memperkukuh garis panduan terhadap program motivasi dan pembangunan diri berlabel Islamik.

Sijil tauliah dan autoriti pengendali perlu dipastikan agar masyarakat tidak terus terdedah kepada penyelewengan berselindung.

Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu lebih cakna. Jangan hanya tertarik dengan populariti penceramah atau testimoni peserta.

Ukuran kebenaran dalam agama ialah dalil, bukan persembahan.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)

Jalan wahyu sebagai jalan pulang

Buat pasangan yang menghadapi cabaran rumah tangga, jalan keluar bukan terletak pada seminar aura cinta atau terapi batin mistik.

BANYAKKAN tadabbur al-Quran dan berzikir untuk mencari ketenangan dalam hidup. Foto Canva

BANYAKKAN tadabbur al-Quran dan berzikir untuk mencari ketenangan dalam hidup. Foto Canva

Sebaliknya, pulanglah kepada jalan Islam – solat, sabar, taubat, doa dan ilmu syar’ie.

Ketenangan sebenar tidak datang dari aura batin atau tenaga semesta, tetapi daripada hubungan tulus antara hamba dengan Tuhannya.

“Tenang itu bukan di hujung seminar, tetapi di hujung sujud.”

***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top