Bolehkah musafir solat qasar mengikut imam solat penuh?

Bolehkah musafir solat qasar mengikut imam solat penuh?


DALAM kehidupan moden serba pantas kini, perjalanan jarak jauh sudah menjadi sesuatu yang lumrah buat ramai orang atas pelbagai alasan, sama ada urusan kerja, pendidikan mahupun ibadah.

Sebagai musafir, Islam memberikan kemudahan kepada umatnya untuk meringkaskan atau memendekkan solat fardu yang disebut sebagai qasar.

Bagaimanapun, sering timbul persoalan, apakah musafir yang ingin mengqasarkan solatnya itu boleh mengikut imam yang solat tamam (solat penuh empat rakaat)? Wajibkah dia mengikuti imam daripada awal hingga akhir? Atau bolehkah dia hanya solat dua rakaat dan berpisah dengan imam (mufaraqah)?

Persoalan-persoalan ini sering menjadi kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

USTAZ AZHAR

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, mengikut pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafie, adalah tidak sah solat seseorang sekiranya solat imam lebih panjang rakaatnya daripada makmum.

“Sebaik-baiknya kalau kita (sedang dalam musafir) mahu solat jamak, solatlah penuh empat rakaat bersama imam (tidak mengqasarkan solat).

“Apabila selesai solat bersama imam, kita bangunlah untuk mendirikan solat jamak dengan qasar,” jelasnya dalam satu rakaman vidoe di YouTube baru-baru ini.

Hurainya, banyak pahala solat penuh empat rakaat bersama imam walaupun dia boleh untuk solat qasar sendirian.

PERJALANAN jarak jauh melebihi dua marhalah sudah menjadi kebiasaan pada masa kini. Foto Canva

PERJALANAN jarak jauh melebihi dua marhalah sudah menjadi kebiasaan pada masa kini. Foto Canva

Menurut Ustaz Azhar, bagaimanapun ada juga segelintir umat Islam yang berkeras untuk mengikut imam namun tetap mahu mengqasarkannya juga.

“Ini tidak, hendak qasar juga seperti qasar tu fardu ain (wajib dilakukan).

“(Jika berlaku demikian), solat qasar makmum dua rakaat itu yang mengikut imam empat rakaat adalah tidak sah,” ujarnya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu artikelnya bertajuk Al-Kafi #1051: Hukum solat orang musafir menjadi imam kepada orang mukim dan sebaliknya, menjelaskan makmum wajib mengikuti imam secara penuh empat rakaat berdasarkan beberapa hadis.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam rukuk hendaklah kamu rukuk dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

TIDAK sah solat musafir solat dua rakaat mengikut imam solat penuh empat rakaat melainkan dia mengikutinya secara penuh empat rakaat juga. Foto Canva

TIDAK sah solat musafir solat dua rakaat mengikut imam solat penuh empat rakaat melainkan dia mengikutinya secara penuh empat rakaat juga. Foto Canva

“Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibnu Abbas RA, beliau ditanya: ‘Mengapakah orang musafir itu menunaikan solat dua rakaat ketika bersendirian dan solat empat rakaan apabila dia berimamkan orang Mukmin?’

“Ibnu Abbas menjawab: ‘Yang demikian itu adalah sunnah’.” katanya dengan merujuk hadis tersebut dalam kitab Al-Mughni.

Sambungnya, jika orang musafir tersebut dalam keadaan masbuq iaitu telah lewat beberapa rakaat daripada imam, maka apabila imam selesai memberi salam, hendaklah dia terus naik dan menyelesaikan solat secara penuh kerana dia musafir yang mengikut imam solat penuh.

“Prof. Dr. Muhammad Az-Zuhaili berkata: ‘Sekiranya seseorang yang bermusafir itu mengikut imam yang mukim maka menjadi kelaziman buatnya untuk solat secara tamam (penuh). Ini kerana ia merupakan solat yang wajib untuk disempurnakan (solat secara penuh)’.

“Tambahnya: ‘Sekiranya orang yang bermusafir itu mengikut imam yang musafir dan dia jahil (tidak mengetahui) niat imamnya sama ada solat tamat atau qasar, maka dia boleh untuk menta’liqkan niatnya (mengikat niat).

“Iaitu dengan cara, sekiranya dia (imam) qasar maka aku pun qasar dan sekiranya dia solat tamam (solat penuh), maka aku puin solat tamam,” jelasnya.

Ujarnya, mengikut pendapat paling sahih, ta’liqannya itu sah.

“Sekiranya imam solat tamam, dia pun turut solat tamam dan jika imam solat qasar, maka dia pun solat qasar.

“Ini kerana zahir daripada keadaan musafir adalah qasar,” hurainya.



Source link

OR

Scroll to Top