Skuad remaja negara meraih kemenangan ketiga aksi Kumpulan B BAJC 2025 selepas menewaskan Singapura.
SKUAD badminton remaja negara meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 apabila membelasah Singapura 110-58 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Tertutup Manahan, Indonesia pada Sabtu.
Rentak kemenangan bergaya itu juga hadir selepas skuad negara menumpaskan Myanmar pada sebelah pagi, sebelum itu sekali gus meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk meraih kemenangan ketiga.
Malaysia membuka aksi menerusi acara beregu campuran pertama yang menyaksikan gandingan Loh Zi Heng-Noraqilah Ramdan menghadiahkan kemenangan sulung apabila mudah menundukkan pasangan Tan Jia Hui- Lua Le En Jessie, 11-5.
Momentum kemenangan diteruskan dalam perlawanan seterusnya apabila pasangan beregu lelaki, Loh Zi Heng- Zulwaqqarizal Redzuan, menampilkan aksi mantap untuk menewaskan Ng Ming Zhe-Tan Jia Hui 22-10.
Pemain perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang pula tidak berdepan masalah untuk mengatasi Tay Ron Hsien Justin 33-19 sebelum wakil perseorangan wanita, Eng Ler Qi, melakar kemenangan meyakinkan ke atas Chia Xin Ying 44-23.
Malaysia menambah derita pasukan lawan menerusi gandingan beregu wanita, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi, yang menumpaskan Zheng Yan Li-Teo Eng Ker 55-27, sebelum Dania Sofea-Datu Anif Datu Asrah menyerlah dalam aksi beregu campuran kedua, apabila mudah menewaskan Ng Ming Zhe-Zheng Yan Li 66-30.
Damien Ling-Shazmir Shahrul menambah mata menerusi kemenangan ke atas Boon Jie Le Marco-Ng Ming Zhe 77-36 dalam satu lagi aksi beregu lelaki, sebelum Kong Wei Xiang sekali lagi turun dalam acara perseorangan lelaki dan meraih kemenangan kedua peribadi ke atas Tay Ron Hsien Justin 88-45.
Malaysia terus mengukuhkan cengkaman apabila Oo Shan Zi menundukkan Chia Xin Ying 99-57 dalam aksi perseorangan wanita, sebelum aksi terakhir menyaksikan Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi menutup perlawanan dengan bergaya apabila menumpaskan Lim Jia Khloe-Lua Le En Jessie 110-58.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengesahkan slot suku akhir dan dijadualkan menentang tuan rumah Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada Ahad.