Tawau: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperkenalkan kerajaan nyata memberi kelegaan kepada penerima baharu, Deon Marhansa, 40, yang menyifatkannya sebagai penyelamat dalam menampung keperluan seisi keluarga.
Menurut Deon, yang bekerja di sebuah bengkel kenderaan, kelewatan gaji bulanan sering menjejaskan pengurusan kewangan keluarganya. Namun, kehadiran bantuan SARA membolehkannya menyediakan barang keperluan asas tanpa perlu menunggu bayaran gaji.
“Dengan adanya SARA, saya boleh membeli beras, telur dan minyak masak lebih awal. Duit gaji pula digunakan untuk keperluan tambahan lain. Saya sangat bersyukur dan berharap bantuan ini diteruskan setiap tahun,” katanya ketika ditemui Bernama.
Deon turut memanfaatkan bantuan tersebut untuk membeli barangan persekolahan anaknya serta kelengkapan harian rumah.
“Saya penerima baharu SARA sejak April lepas. Sebelum ini hanya menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana melalui bantuan ini, saya dapat menyediakan keperluan makan dan minum untuk anak dan isteri lebih awal,” katanya.
Deon antara 4.7 juta penerima STR sedia ada yang menikmati peluasan program SARA seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Bermula 1 April lalu, program itu diperluas daripada 700,000 penerima kepada 5.4 juta individu menerusi integrasi data eKasih dan sistem STR.
Sementara itu, Hamidi Lamit, 45, dari Kampung Selamat, Kunak, berkata penggunaan MyKad sebagai medium pembayaran SARA memberikan kemudahan dan keselamatan kepada pengguna.
“Kita tidak perlu lagi beratur di bank untuk ambil duit. Terus beli barang di kedai dan bayar guna MyKad. Saya biasanya beli barang asas seperti beras, telur, minyak dan makanan dalam tin seperti sardin,” katanya yang bekerja sebagai pemotong rumput.
Seorang lagi penerima, Amad Supardi, 41, yang bekerja di sebuah kilang di Balung, berkata bantuan itu berjaya menjimatkan perbelanjaan dapur bulanan keluarganya.
“Dulu saya belanja sekitar RM300 sebulan untuk belanja dapur, kini dapat jimat sedikit. Saya beli barang asas seperti beras, minyak, mi, sabun dan ubat gigi menggunakan bantuan yang terus disalurkan ke MyKad,” katanya yang menanggung isteri dan empat anak masih bersekolah.
Suri rumah Asmah Labade, 38, dari Kampung Pangkalan, Kunak, turut menyambut baik inisiatif tersebut yang menurutnya membantu menyediakan keperluan asas serta ubat-ubatan untuk keluarga.
“Kami beli beras, minyak masak, teh dan mi egera. Selain itu, saya beli juga ubat-ubatan seperti panadol, minyak angin serta peralatan sekolah untuk anak-anak,” katanya.
Sementara itu, di Lahad Datu, Marchela Bongsu, 35, dari Taman Warisan berkata, bantuan yang diterima suaminya, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, sangat membantu keluarga mereka yang berdepan pendapatan tidak menentu.
“Sudah sembilan bulan kami menerima SARA. Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat kami bernafas. Tepung untuk saya buat kuih pun dibeli menggunakan SARA. Terima kasih kerajaan atas bantuan ini,” katanya.
Belanjawan 2025 memperuntukkan RM13 bilion bagi program STR dan SARA, meningkat berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya. Jumlah tahunan SARA turut dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lalu.
Inisiatif ini selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keadilan sosial, pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah serta penyediaan perlindungan sosial menyeluruh.
Kerajaan turut memperluaskan kategori barangan layak dibeli menggunakan SARA kepada 14 jenis, termasuk sabun, ubat gigi dan bahan asas memasak.
Jumlah premis runcit dan pasar raya berdaftar juga meningkat kepada lebih 4,100 di seluruh negara setakat Julai 2025, berbanding hanya 700 tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd