lizamridzuan@hmetro.com.my
Lebih 60 jentera berkuasa tinggi Harley-Davidson ‘menggegar’ pekarangan Muzium Tentera Darat (TD) di Port Dickson baru-baru ini apabila sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi khas ke lokasi bersejarah itu dalam satu inisiatif yang cukup unik gabungan riadah permotoran dengan pengisian patriotik.
Bertemakan semangat menghargai jasa perwira tanah air, konvoi ini bukan sekadar acara santai bermotosikal, sebaliknya menjadi medan untuk menyuntik semangat nasionalisme serta menyemai rasa cinta terhadap sejarah perjuangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam kalangan generasi masa kini yang gemar aktiviti luar dan ekstrem.
Konvoi yang diketuai oleh Dzulkhairil Zawawi ini bermula dari Pacific Tower di Petaling Jaya yang menjadi lokasi rasmi Harley-Davidson Petaling Jaya (HDPJ) dan konvoi terus bergerak secara beriringan menuju ke Port Dickson dengan laluan sejauh hampir 100 kilometer sebelum berhenti di Muzium TD sebagai lokasi utama lawatan.
“Konvoi ini bukan semata-mata untuk ‘enjoy the ride’, tapi lebih kepada bagaimana kita boleh selitkan elemen ilmu dan patriotisme dalam gaya hidup bermotosikal dan bila singgah di muzium boleh lihat bagaimana anggota tenta kita berjuang dan berkorban demi nagara,” katanya.
Katanya, lawatan ke muzium ini juga membuka ruang kepada peserta untuk mendekati sejarah ketenteraan negara secara lebih mendalam serta melihat artifak perang, kereta kebal lama, senjata bersejarah dan pelbagai elemen pameran yang menggambarkan evolusi dan pengorbanan ATM sejak zaman penjajahan hingga ke era moden.
Selesai di muzium, konvoi diteruskan ke destinasi santai di sekitar Embok Village di kawasan pantai Port Dickson yang terkenal dengan suasana kampung nelayan dan hidangan laut segar.
Di sini, peserta beristirahat sambil berkongsi pengalaman, menyemai persahabatan dan membina jaringan sesama ahli komuniti penunggang motosikal berkuasa tinggi dari seluruh Lembah Klang.
Namun di sebalik jentera dua roda yang ranggi dan bergaya, kumpulan ini sebenarnya turut aktif dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan denganahli konvoi yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada dari ahli korporat, peniaga hingga penjawat awam juga sering menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara.
Antara aktiviti yang pernah dijayakan termasuklah penanaman anak pokok bakau bagi menjaga kelestarian alam sekitar, sumbangan kepada rumah anak yatim dan komuniti asnaf, serta penganjuran program ilmiah dan kesedaran seperti bengkel keselamatan jalan raya dan motivasi remaja.
“Aktiviti bermotosikal ini seiring dengan elemen gaya hidup yang boleh disalurkan ke arah kebaikan dengan sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan dan hidup dalam harmoni,” katanya lagi.
Program konvoi ini mendapat kerjasama erat daripada Harley-Davidson Petaling Jaya (HDPJ), yang melihat potensi besar dalam menggabungkan aktiviti gaya hidup bermotosikal dengan nilai-nilai kenegaraan dan keprihatinan sosial.Secara keseluruhan, inisiatif ini berjaya memecahkan stereotaip terhadap komuniti biker, membuktikan bahawa di sebalik jaket kulit dan motosikal besar, ada jiwa patriotik dan semangat kemasyarakatan yang mendalam dan menjadikan konvoi ini lebih daripada sekadar perjalanan, tetapi satu misi penuh makna.
© New Straits Times Press (M) Bhd