KARNIVAL Sukan ANSARA (KSA) 2025 menyasarkan penyertaan seramai 8,000 atlet dari seluruh negara, sekali gus bakal mencipta rekod baharu sebagai karnival sukan alumni terbesar dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Eksekutif KSA25, Kamarul Bahrin Hamzah berkata, karnival dwitahunan anjuran Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara Malaysia) itu dijangka menghimpunkan lebih 40 cawangan dan kelab rasmi Ansara untuk bersaing dalam lebih 19 acara sukan dipertandingkan.
Katanya, KSA 2025 bukan sahaja menampilkan pertandingan sukan, malah menjadi wadah mengeratkan perpaduan dan setiakawan dalam kalangan alumni MRSM melalui penyertaan aktif dan gaya hidup sihat.
“Karnival ini bukan sekadar pertandingan sukan tetapi simbol warisan bersama serta semangat kekitaan dalam komuniti MRSM.
“Karnival Sukan Ansara sentiasa lebih daripada sekadar acara sukan; ia adalah sambutan warisan bersama kita, platform untuk menghidupkan semula persahabatan dan bukti semangat komuniti MRSM berkekalan,” katanya.
Majlis pelancaran KSA 2025 turut disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Dewan Seri Melati, Perbadanan Putrajaya, Presint 3 pada Ahad.
Dalam pada itu Kamarul Bahrin berkata, KSA 2025 turut membawa misi besar untuk melakar nama ANSARA dalam MBOR sekali gus mengangkat semangat ‘One Team, One Dream, Unity Through Sports’.
“Dengan KSA 2025, kami bukan sahaja menolak sempadan penyertaan tetapi berhasrat untuk mengukir nama kami dalam MBOR, satu pencapaian luar biasa yang benar-benar akan merangkumi moto kami itu,” katanya lagi.
Majlis pelancaran berkenaan turut disertai kepimpinan ANSARA, tetamu kehormat serta wakil-wakil rakan penaja utama yang menjadi tulang belakang penganjuran acara mega tersebut.
KSA 2025 menerima tajaan utama daripada OMODA | JAECOO, selain sokongan pelbagai jenama ternama antaranya Nippon Sushi, UZMA, MedicMesir, Menara Optometry, PTPTN, Jakel Capital, Sedania, Pelaburan MARA, Anggun Medi-klinik, 100 Plus, ProfiX dan Pickle X.
Perbadanan Putrajaya dan Bank Simpanan Nasional (BSN) pula bertindak sebagai rakan strategik menjadikan karnival kali ini antara paling besar dan berimpak tinggi dalam sejarah penganjuran Ansara.
Ujar Kamarul Bahrin, acara tersebut menjadi pentas menonjolkan semangat kesukanan dan kecemerlangan atletik alumni MRSM.
Selain itu, karnival ini turut menjadi medan memperkukuh solidariti serta menjadi penanda aras baharu karnival sukan alumni di Malaysia.
Sebagai rekod, Karnival Sukan Ansara merupakan acara utama dwitahunan yang menghimpunkan alumni dari seluruh negara untuk bertanding secara kompetitif dalam pelbagai acara sambil memupuk jalinan persahabatan dan kekitaan.