Jangan gentar aura Gelora Bung Karno

Jangan gentar aura Gelora Bung Karno


Nafuzi Zain menegaskan, pemain-pemain perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi tekanan luar biasa yang bakal diberikan penyokong Indonesia Isnin ini – Foto: Bernama

HARIMAU Muda tidak boleh gentar dengan kehangatan sokongan penyokong tuan rumah apabila turun menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin.

Pengendali skuad B-23 negara, Nafuzi Zain menegaskan, pemain-pemain perlu bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi tekanan luar biasa yang bakal diberikan penyokong Indonesia.

“Penyokong Indonesia memang luar biasa dan fanatik. Jadi pemain saya perlu benar-benar bersedia dengan tekanan itu.

“Kita perlu menyerap tekanan, kekal fokus dan bermain seperti yang dirancang. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menang perlawanan ini bagi memastikan tempat ke pusingan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, pertembungan menentang Indonesia sememangnya sentiasa dinanti-nantikan kedua-dua penyokong negara dan beliau tidak menafikan ia bakal menjadi cabaran paling sukar buat Malaysia dalam saingan kali ini.

“Indonesia pasukan yang sangat kuat dan bagi saya, mereka adalah calon juara kejohanan ini. Tapi itu tidak bermakna kita akan mengaku kalah lebih awal.

“Kami akan terus berjuang dan mencari kemenangan demi layak ke separuh akhir,” katanya.

Ketika ini skuad Harimau Muda berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata dan perlu melakar kemenangan ke atas Indonesia dalam usaha untuk mara ke peringkat separuh akhir.



Source link

OR

Scroll to Top