Piala ASEAN B-23: Garuda Muda hormati Harimau Muda, enggan ambil mudah

Piala ASEAN B-23: Garuda Muda hormati Harimau Muda, enggan ambil mudah


PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun Indonesia, Gerald Vanenburg tidak memandang ringan kemampuan pasukan Malaysia B-23 menjelang aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin.

Malah, biarpun Harimau Malaya Muda sebelum ini tewas mengejut 0-2 kepada Filipina, Vanenburg tetap menyifatkan skuad kendalian Nafuzi Zain itu sebagai pasukan yang berkualiti dan mempunyai potensi besar.

“Pada pandangan saya, Malaysia B-23 bukan pasukan yang boleh dipandang rendah. Mereka memiliki pemain-pemain yang bagus dan menunjukkan kualiti tersendiri,” kata Vanenburg.

Namun begitu, beliau tidak mahu terlalu fokus terhadap kekuatan lawan sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada persiapan pasukannya sendiri menjelang pertembungan penting yang dijadual berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) itu.

“Soal lawan, memang mereka sangat bagus. Mereka pasukan yang berkualiti dengan pemain-pemain yang luar biasa.

“Tetapi bagi saya yang paling penting ialah bagaimana kami bermain. Saya tekankan kepada pemain-pemain bahawa kami lebih baik daripada pasukan lain.

“Jika mereka mempercayai kata-kata saya, saya yakin kami mampu meraih kemenangan dalam perlawanan ini,” jelas pengendali dari Belanda itu.

Anak buah Vanenburg sebelum itu mengekalkan momentum kemenangan dalam kempen Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 apabila menundukkan Filipina 1-0 dalam aksi kedua pada Jumaat.

Kemenangan tersebut hadir hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Filipina, Jaime Rosquillo pada minit ke-23, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat skuad Garuda Muda.

Kejayaan ke atas Young Azkals itu meletakkan Garuda Muda di tangga teratas dengan enam mata maksimum hasil dua kemenangan.

Filipina pula kekal di tempat kedua dengan tiga mata, mendahului Malaysia di kedudukan ketiga juga dengan tiga mata menerusi kelebihan rekod pertemuan.

Harimau Muda sebelum itu bangkit menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas membenam Brunei Darussalam 7-1 dalam aksi terdahulu.

Harimau Muda bimbingan Nafuzi sebelum itu setelah tewas mengejut 0-2 kepada Young Azkals pada perlawanan pertama.

Brunei kendalian Aminuddin Jumat terus ketinggalan di dasar kumpulan tanpa sebarang mata setelah dua kekalahan berturut-turut dan telah dibolosi sebanyak 15 kali.

Bagaimanapun, kedudukan Indonesia selaku pendahulu kumpulan belum menjamin tempat ke separuh akhir.

Garuda Muda wajib sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri menentang Malaysia dalam aksi terakhir kumpulan pada Isnin, 21 Julai.

Sekiranya Indonesia tewas kepada Harimau Muda, peluang mereka untuk mara ke separuh akhir akan bergantung sepenuhnya kepada keputusan pertemuan antara Filipina dan Brunei.

Jika Filipina berjaya menewaskan Brunei, maka tiga pasukan Indonesia, Malaysia dan Filipina akan terikat dengan enam mata, dan perhitungan secara rekod pertemuan akan digunakan bagi menentukan dua pasukan teratas untuk mara ke separuh akhir.



Source link

OR

Scroll to Top