DOSM sudah banci 40% sektor pertanian di Pulau Pinang

DOSM sudah banci 40% sektor pertanian di Pulau Pinang


GEORGE TOWN – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membanci sebanyak 40 peratus daripada 18,122 pertubuhan dan pengusaha yang terlibat dalam sektor pertanian meliputi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur dan perhutanan serta pembalakan di Pulau Pinang.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata, ia melibatkan kira-kira 8,000 pembancian yang ditelah dijalankan di negeri itu sejak Julai lepas hingga hari ini.

“Hari ini hari ke-28 pelaksanaan Banci Pertanian 2024 dan di seluruh negara telah capai 31 peratus. Pulau Pinang merupakan negeri tertinggi iaitu 40 peratus pembancian dilaksanakan, kita jangka negeri ini akan selesai lebih awal berbanding sasaran bai seluruh negara Oktober nanti.

“Dari segi tanah pertanian di Pulau Pinang, terdapat 36,040 hektar dan sumbangan sektor itu pada tahun lepas tak sampai tiga peratus namun membabitkan jumlah RM2.2 bilion, malah di negeri ini aktiviti antara yang terbesar adalah ikan hiasan berbanding negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program turun padang bagi operasi kerja luar Banci Pertanian 2024 di sangkar ikan laut di perairan Pulau Pinang di sini hari ini.

Sebelum ini DOSM melaporkan dianggarkan terdapat lebih 1.3 juta isi rumah atau individu terlibat dalam pertanian selain hampir 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan turut terlibat dalam sektor itu, justeru pelaksanaan bancian tersebut amat penting bagi mengumpul data berkaitan pertanian termasuk permasalahan yang dihadapi.

Mohd Uzir berkata, DOSM telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Beliau Banci Pertanian 2024 merupakan usaha kerajaan dalam menilai prestasi industri pertanian di Malaysia dan ia menyediakan data asas profil pegangan pertanian seperti maklumat demografi, hasil pertanian, kos input, saiz ladang, penggunaan dan pemilikan tanah, mekanisasi serta penggunaan teknologi.

“Berdasarkan dapatan awalan di kebanyakan tempat kita pergi seluruh negara, jumlah belia terlibat dalam bidang pertanian agak terserlah tetapi dari segi peratusan masih kurang dan perlu ditingkatkan selain bancian juga mendapati rata-rata pengusaha terutama yang berumur membayangkan sektor pertanian perlu tarik ramai belia untuk meneruskannya.

“Kita juga mendapati pengetahuan dalam sektor petanian iaitu teori 30 peratus diperoleh dalam pendidikan formal di universiti dan sebagainya manakala 70 peratus lagi di lapangan, jadi amat penting bancian ini kerana dapat lihat banyak perkara yang boleh dihadirkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cabaran yang dihadapi pembanci dalam melaksanakan Banci Pertanian di Pulau Mutiara itu termasuk terdapat sebilangan responden enggan memberikan kerjasama dan ragu-ragu untuk mendedahkan maklumat pertanian.

Justeru, Mohd Uzir menyeru agar pertubuhan dan pengusaha pertanian di negeri ini memberi kerjasama kepada DOSM dalam menjayakan aktiviti pembancian demi kelestarian sektor pertanian negara sejajar dengan tema Banci Pertanian 2024 Kunci Kemajuan Pertanian.

Sementara itu, DOSM dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena program itu memaklumkan berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor pertanian Pulau Pinang menyumbang 1.9 peratus kepada KDNK negeri dengan nilai ditambah berjumlah RM2.2 bilion.

Menurutnya subsektor perikanan merupakan penyumbang terbesar sektor pertanian di negeri ini dengan sumbangan 40 peratus, diikuti subsektor tanaman iaitu 33 peratus dan ternakan sebanyak 27 peratus pada tahun lepas.

“Dapatan banci dapat memberikan manfaat terutamanya kepada para petani untuk mengakses data tanaman dan ternakan dengan lebih terperinci serta membantu dalam membuat keputusan berkaitan cara untuk meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta menambah baik penawaran produk,” katanya.

Selain itu, DOSM memaklumkan data membantu penggubal dasar dan pemain industri untuk membuat keputusan dengan lebih baik serta mengoptimumkan operasi dalam sektor pertanian.- BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top