Hulk Hogan meninggal dunia

Hulk Hogan meninggal dunia


DUNIA gusti kehilangan salah seorang legenda terbesarnya apabila bintang gusti profesional Amerika Syarikat (AS), Hulk Hogan, disahkan meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat serangan jantung.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh World Wrestling Entertainment (WWE) di platform media sosial X, yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta peminat mendiang.

“WWE dukacita memaklumkan bahawa Ahli Dewan Kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.

“Sebagai antara figura paling ikonik dalam budaya pop, Hogan memainkan peranan penting dalam membawa WWE ke peringkat antarabangsa pada era 1980-an.

“WWE merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat beliau,” kata kenyataan itu.

Menurut laporan media antarabangsa, pasukan kecemasan dikejarkan ke kediaman Hogan di Clearwater, Florida selepas beliau mengalami serangan jantung, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita pemergian Hogan turut mengejutkan rakan-rakan seperjuangannya dalam arena gusti, termasuk sahabat karib dan bekas ahli gusti profesional, Ric Flair, yang meluahkan kesedihan atas kehilangan insan yang dianggap seperti keluarga.

“Saya benar-benar terkejut menerima berita pemergian sahabat karib saya, @HulkHogan!

“Beliau sentiasa menyokong saya sejak awal penglibatan kami dalam dunia gusti. 

“Hulk merupakan seorang atlet, individu berbakat dan bapa yang luar biasa,” kata Flair menerusi hantaran di platform sama.

Sementara itu, seorang lagi ikon gusti terkenal, The Undertaker, menyifatkan pemergian Hogan sebagai satu kehilangan besar kepada industri gusti profesional.

“Dunia gusti kehilangan seorang legenda sejati.

“Sumbangannya terhadap industri ini tidak terhingga, dan saya amat menghargainya. Terima kasih, Hulk Hogan,” katanya.

Sepanjang kerjayanya, Hogan bukan sahaja menjadi simbol gusti profesional di AS, malah turut mencipta fenomena global menerusi penampilan karismatik serta gaya persembahan yang ikonik.



Source link

OR

Scroll to Top