razis@hmetro.com.my
Seawal jam 8 pagi, Wiwik Afiza Abdul Malik, 47, yang lebih mesra disapa Afiza dilihat sedang menolak kerusi roda seorang wanita dengan penuh berhati-hati di sebuah taman di Putrajaya.
Sambil menikmati keindahan alam semula jadi, mereka dilihat berbual dengan penuh mesra seolah-olah mempunyai hubungan kekeluargaan dan sudah kenal agak lama.
Siapa sangka, mereka baharu sahaja berkenalan selepas wanita terbabit menggunakan perkhidmatan peneman yang disediakan Afiza sejak dua bulan lalu.
Sebagai peneman, skop tugas Afiza termasuk menemani kliennya makan, menjadi teman menunggu untuk janji temu kesihatan (termasuk menguruskan pendaftaran hingga selesai pemeriksaan, terutama bagi klien berkerusi roda) atau membantu membeli-belah seperti menolak troli dan mengangkat barang.
Bukan itu sahaja, ada juga klien inginkan waktu bersendirian, namun berasa selamat dan hanya mahu Afiza berada di kawasan sekitarnya.
Afiza berkata, idea untuk menceburi bidang peneman itu bermula dari pemerhatiannya terhadap masalah yang dihadapi rakan-rakan wanita di sekelilingnya.
Katanya, semuanya bermula apabila ramai kenalan yang belum mendirikan rumah tangga sering mengadu mereka kesunyian.
“Mereka perlukan teman untuk sekadar bersiar-siar, makan-makan, berbual, menonton wayang atau jalan-jalan cuci mata di pasar raya.
“Namun, timbul kekangan apabila rakan-rakan ini segan untuk mengajak keluar terutama jika mereka tidak mengenali saya secara peribadi,” katanya.
Menurutnya, dari situ, tercetus idea untuk menawarkan perkhidmatan peneman.
“Saya tawarkan khidmat teman ini berbayar supaya mereka lebih mesra dan bebas ketika menjalankan aktiviti.
“Bagi saya, peneman bukan sekadar perkhidmatan, tetapi juga satu usaha untuk mewujudkan keselesaan dan kebebasan buat klien,” katanya.
Afiza yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, perkhidmatan yang ditawarkan sangat fleksibel dan disesuaikan mengikut keperluan klien.
“Saya mengenakan caj tambang berdasarkan kiraan aplikasi e-hailing, ditambah dengan caj komitmen RM30 sejam,” katanya.
Jelasnya, rutin hariannya sebagai peneman tidak statik dan bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Ada permintaan yang ditempah beberapa hari lebih awal dan ada juga yang buat secara mengejut. Bagi permintaan mengejut seperti ini, saya cuba selitkan slot sebaik mungkin supaya tidak mengecewakan klien.
“Dalam seminggu, purata saya menerima tidak kurang daripada tiga slot permintaan. Paling kerap adalah daripada ibu bapa yang meminta saya mengambil anak-anak dari sekolah dan ada yang meminta saya menemani ibu mereka ke janji temu doktor.
“Saya bertugas di pelbagai lokasi termasuk Hospital Putrajaya, Hospital Rehabilitasi Cheras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan sekolah sekitar Bandar Baru Bangi,” katanya.
Sebagai peneman Afiza mengakui, seseorang itu perlu memiliki kriteria tertentu termasuk cergas, disiplin, berkeupayaan untuk membuat keputusan dengan pantas dan tepat dalam pelbagai keadaan, sentiasa ada empati serta senyum selalu.
“Saya juga perlu pastikan mementingkan profesionalisme dengan menjaga penampilan dan kenderaan sentiasa bersih dan kemas untuk memberikan keselesaan kepada klien.
“Latar belakang saya sebagai anggota tentera adalah sumbangan besar dalam pembabitan saya untuk kerjaya ini. Saya bangga bawa nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun sudah tujuh tahun meninggalkan perkhidmatan,” katanya.
Dia berkata, antara kelebihan bekerja sebagai peneman adalah waktu yang fleksibel, memudahkannya menguruskan rutin harian keluarga tanpa mengabaikan pekerjaannya.
“Pekerjaan ini tidak mengganggu tugas saya sebagai isteri dan ibu di rumah. Waktu operasi saya bermula seawal jam 8 pagi sehingga 5 petang sahaja iaitu ketika suami keluar bekerja dan anak-anak juga ke sekolah,” katanya.
Sepanjang terbabit dalam bidang itu, Afiza mengakui berdepan pelbagai kenangan pahit, manis dan lucu tercipta.
“Antara yang manis termasuk sering menerima hadiah, berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan, mengenali orang baharu dan menimba pengalaman baharu,” katanya.
Afiza meluahkan rasa gembira dan berbesar hati melalui perkhidmatan yang ditawarkan itu bukan semata-mata dapat menjana pendapatan, malah dapat membantu masyarakat.
“Saya sangat berbesar hati dapat bantu masyarakat mengatasi masalah rasa rendah diri yang tinggi, bantu anak-anak yang sibuk bekerja, tetapi mahukan layanan terbaik untuk ibu mereka dan pastikan anak-anak yang saya bawa selamat sampai ke rumah mereka.
“Malah saya gembira mampu tawarkan mereka ketenangan hati dan fikiran walaupun sibuk bekerja,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd