KEPUTUSAN sama ada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.
Perkembangan tersebut dikongsi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memaklumkan bahawa perbincangan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM masih berjalan.
“Perbincangan sedang berlangsung untuk melihat bagaimana FAM boleh memainkan peranan yang lebih besar di AMD. Sebelum akhir tahun ini, kita akan muktamadkan,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa MSN kini menanggung beban besar kerana perlu menguruskan pelbagai jenis sukan, terutamanya sukan berprestasi tinggi.
“Jadi dalam konteks bola sepak, lebih baik perkara ini dikhususkan dan diambil alih tanggungjawabnya oleh FAM. Saya tiada maklumat terperinci setakat ini, tetapi bagi AMD dan NFDP, memang kita sedang menilai semula program di bawah MSN.
“Sepatutnya pembangunan sesuatu sukan itu perlu dijalankan oleh persatuan sukan kebangsaan dan bukannya MSN,” jelasnya.
Hannah turut menjelaskan bahawa MSN bertanggungjawab terhadap semua sukan berprestasi tinggi dan perlu berlaku adil kepada semua Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).
“Mereka (MSN) perlu mencari dana untuk menumpukan perhatian kepada sukan berprestasi tinggi. Apabila kita bercakap mengenai pembangunan sukan di peringkat akar umbi, ia perlu diusahakan oleh PSK.
“Ketika ini, AMD serta fasiliti dan infrastrukturnya memang di bawah MSN, tetapi perbincangan sedang dijalankan mengenai bagaimana FAM boleh memainkan peranan lebih besar dalam usaha ini,” katanya.
Mengulas mengenai sama ada peruntukan bajet kepada AMD akan diserahkan kepada FAM, Hannah menjelaskan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.
“Kita bukan mahu lepas tangan atau cuci tangan begitu sahaja. Mesti ada proses transisi dan perbincangan yang menyeluruh. Ia belum dimuktamadkan, tetapi telah bermula. Jangan risau,” katanya.