Ahmad Sabri diumum secara rasmi sebagai Pengurus Perak FA menerusi hantaran di Facebook pasukan tersebut pada Sabtu.
IPOH – Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed diumumkan secara rasmi sebagai Pengurus Pasukan Perak FA bagi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Azhar Jamaluddin berkata, pelantikan tersebut merupakan penghormatan buat pasukan.
Menurutnya, Ahmad Sabri bukan individu asing dalam bola sepak kerana mempunyai pengalaman menguruskan beberapa pasukan sebelum ini.
“Seluruh warga Perak FA dengan penuh hormat dan bangga mengalu-alukan kehadiran Datuk Ahmad Sabri Mohamed sebagai Pengurus Pasukan Perak FA.
“PAFA yakin pengalaman dan nilai kepimpinan yang dibawa oleh Ahmad Sabri akan menjadi pemangkin penting kepada kekuatan dan profesionalisme skuad Perak FA dalam misi Sukma dan cabaran Liga A1 musim ini,” menurut kenyataan menerusi Facebook Perak FA pada Sabtu.
Ahmad Sabri bukanlah nama asing dalam dunia pengurusan dan integriti malah beliau turut memegang beberapa jawatan penting termasuk Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Ahli Lembaga Penasihat Darul Ridzuan Integrity Champion (DRIC) serta Exco merangkap Pengerusi Jawatankuasa Integriti PAFA.
Beliau juga berpengalaman menguruskan pasukan bola sepak antaranya sebagai Pengurus Pasukan Bolasepak SUKMA Perak dan MySPRM-ACeIO yang berjaya menjuarai Piala Emas Raja-Raja 2024.