harisfadli@hmetro.com.my
Gombak: Polis sedang mengesan seorang pengawal keselamatan kerana disyaki mencabul seorang wanita di sebuah residensi sekitar Rawang, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan mendakwa dicabul dan cubaan merogol oleh lelaki warga asing terbabit.
“Satu laporan polis dibuat pada 26 Julai oleh seorang wanita tempatan berusia 26 tahun mendakwa dicabul suspek terbabit.
“Kejadian dipercayai berlaku di dalam pejabat persatuan penduduk di residensi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu tular di media sosial gambar suspek beserta mesej mendakwa suspek cuba merogol dan mencabul seorang wanita sebelum melarikan diri.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada 12.40 tengah hari kelmarin membabitkan seorang pengawal keselamatan yang juga seorang warga Nepal.
© New Straits Times Press (M) Bhd