Aaron-Wooi Yik ada impian besar

Aaron-Wooi Yik ada impian besar


Aaron (kanan) dan Wooi Yik mahu mengalih fokus kepada Kejohanan Badminton Dunia di Paris bulan depan. Foto AFP

SETELAH terlepas gelaran Terbuka China, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memasang impian lebih besar untuk mengulangi kejayaan merangkul kejuaraan dunia buat kali kedua.

Biarpun Terbuka China berstatus Super 1000, namun gelaran Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis bulan depan berada dalam kelas tersendiri yang menjadi idaman setiap pemain.

Aaron-Wooi Yik yang berstatus kedua dunia optimis untuk melakukannya sekali lagi selepas memenangi gelaran berprestij tersebut pada 2022.

“Kami ingin memberi fokus kepada persiapan untuk Kejohanan Dunia. Gelaran di Paris adalah matlamat utama bagi mana-mana pasangan.

“Kami akan pulang, menjalani proses pemulihan dan kembali ke gelanggang untuk bersedia dengan lebih baik,” ujar Aaron.

Gandingan negara itu tumpas di tangan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 14-21 dalam aksi final di Changzhou pada Ahad.

Dalam pada itu, Wooi Yik percaya mereka mampu naik podium di Paris menerusi bimbingan jurulatih, Herry Iman Pierngadi.

“Gaya permainan kami telah berubah dan rentak itu perlu dikekalkan. Berbaki sebulan lagi, kami hanya perlu percaya pada diri sendiri, percayakan jurulatih dan kekal yakin menjelang Kejohanan Dunia,” katanya.

Di sebalik Kejohanan Dunia itu, Aaron-Wooi Yik mungkin boleh menarik nafas lega apabila Fajar-Shohibul tidak akan bertanding sebagai pasangan di Paris walaupun melakar prestasi cemerlang di Changzhou.

Fajar akan kembali bergandingan dengan Rian Ardianto.



Source link

OR

Scroll to Top