Empat sekeluarga warga Afghanistan cuba masuk Malaysia guna visa palsu dihantar pulang

Empat sekeluarga warga Afghanistan cuba masuk Malaysia guna visa palsu dihantar pulang


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan empat sekeluarga warga Afghanistan cuba memasuki Malaysia menggunakan visa palsu gagal apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Menurut kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), mereka antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan serta saringan dokumen di pintu masuk negara berkenaan.

“Empat individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di terminal KLIA dan mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau.

“Siasatan mendapati kesemua individu itu tiba di Malaysia jam 9.20 malam pada Khamis lalu menerusi penerbangan,” kata kenyataan itu, hari ini.

AKPS berkata, hasil soal siasat endapati kesemua individu terbabit adalah penumpang basi iaitu penumpang yang tiba di negara ini tetapi gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa ditetapkan.

Katanya, mereka berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya.

Selain itu, semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu.

“Mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit. Visa palsu itu juga diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran USD6,000 (kira-kira RM25,386),” katanya.

Menurut AKPS, pihaknya mengambil tindakan menolak kemasukan keempat-empat individu terbabit dan mereka akan dihantar pulang ke negara asal dengan penerbangan, esok.

Insiden itu membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam mengekang kemasukan warga asing melalui modus operandi pemalsuan visa ke negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top