Baitulmaqdis: Di sebuah khemah sementara di pantai Gaza, nenek kepada Muntaha yang berusia tiga bulan terpaksa mengisar kacang kuda sehingga menjadi butiran paling halus untuk dijadikan pes bagi menyuap bayi itu.
Dia sedar tindakan ini akan menyebabkan cucunya menangis kesakitan, namun ia satu-satunya cara dalam usaha terdesak menyelamatkan bayi itu dari kebuluran.
“Jika bayi ini boleh bercakap, dia pasti akan menjerit kepada kami, bertanya apa yang kami masukkan ke dalam perutnya,” kata ibu saudaranya, Abir Hamouda.
Wajah Muntaha berkerut dan badannya menggeliat semasa neneknya menyuap pes itu menggunakan picagari.
Keluarga Muntaha hanyalah satu daripada ribuan keluarga di Gaza yang berdepan pilihan sukar untuk memberi makan kepada bayi, khususnya yang berumur bawah enam bulan dan tidak boleh memproses makanan pejal.
Susu formula bayi sukar didapati ekoran penurunan mendadak akses bantuan ke Gaza.
Ramai ibu tidak dapat menyusukan anak akibat kekurangan zat, manakala bayi lain terpisah daripada ibu mereka disebabkan perpindahan, kecederaan atau, dalam kes Muntaha, kematian.
Menurut keluarganya, ibu bayi itu terkena tembakan semasa hamil, melahirkan anak secara pramatang ketika tidak sedarkan diri di unit rawatan rapi, dan meninggal dunia beberapa minggu kemudian.
“Saya sangat bimbang dengan nasib bayi ini,” kata neneknya, Nemah Hamouda. “Kami menamakannya sempena nama ibunya dengan harapan dia dapat terus hidup, tetapi kami amat takut. Kami dengar setiap hari kanak-kanak dan orang dewasa mati kerana kelaparan.”
Berat Muntaha kini sekitar 3.5 kilogram, kata keluarganya, iaitu kurang separuh daripada berat normal bayi cukup bulan seusianya.
Dia mengalami masalah perut seperti muntah dan cirit-birit setiap kali diberi makan.
Pegawai kesihatan, pekerja bantuan dan keluarga di Gaza memberitahu Reuters, banyak keluarga memberi bayi mereka air rebusan herba dan teh, atau mengisar roti dan bijan.
Agensi kemanusiaan juga melaporkan kes ibu bapa merebus daun, memakan makanan haiwan dan mengisar pasir untuk dijadikan tepung.
Pakar kesihatan pediatrik berkata, memberi makanan pejal terlalu awal kepada kanak-kanak boleh mengganggu nutrisi mereka, menyebabkan masalah perut, dan berisiko tercekik.
“Ia satu tindakan terdesak untuk menampung kekurangan makanan,” kata jurucakap UNICEF, Salim Oweis. “Apabila ibu tidak boleh menyusukan anak atau menyediakan susu formula yang betul, mereka terpaksa mengisar kacang kuda, roti, beras, apa saja yang boleh didapati untuk menyuap anak mereka. Ia membahayakan kesihatan kerana bahan-bahan ini tidak sesuai untuk dimakan oleh bayi.”
BOTOL SUSU TANPA SUSU
Krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin parah mendorong badan pemantau kelaparan utama dunia untuk menyatakan senario kebuluran paling buruk sedang berlaku dan tindakan segera diperlukan bagi mengelak kematian berleluasa. Imej kanak-kanak Palestin yang kurus kering telah mengejutkan dunia.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan semakin ramai orang meninggal dunia akibat kelaparan. Jumlah setakat ini mencecah 154 orang, 89 daripadanya ialah kanak-kanak, yang kebanyakannya meninggal dunia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Dengan kemarahan antarabangsa mengenai penderitaan Gaza yang semakin memuncak, Israel mengumumkan langkah-langkah pada hujung minggu lalu untuk melonggarkan akses bantuan.
Namun, Program Makanan Sedunia PBB (WFP) pada Selasa berkata pihaknya masih tidak mendapat kebenaran yang diperlukan untuk menghantar bantuan secukupnya.
Israel dan Amerika Syarikat menuduh kumpulan Hamas mencuri bantuan – satu tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan itu – dan menuduh PBB gagal menghalangnya.
PBB menyatakan pihaknya tidak melihat bukti Hamas memesongkan banyak bantuan. Hamas pula menuduh Israel menyebabkan kebuluran dan menggunakan bantuan sebagai senjata, satu dakwaan yang dinafikan oleh kerajaan Israel.
Agensi kemanusiaan memaklumkan hampir tiada lagi bekalan susu formula bayi di Gaza.
Tin yang ada di pasaran berharga lebih $100 (kira-kira RM470) – mustahil untuk dibeli oleh keluarga seperti keluarga Muntaha, yang bapanya hilang pekerjaan sejak perniagaan falafelnya ditutup akibat perang dan mereka sekeluarga hilang tempat tinggal.
Di wad pediatrik Hospital Syahid Al-Aqsa di bandar Deir al-Balah, bekalan susu formula kebanyakannya sudah habis.
Seorang ibu menunjukkan bagaimana dia menuang pes bijan pekat (tahini) ke dalam botol dan mencampurkannya dengan air.
“Saya gunakan ini sebagai ganti susu, untuk menggantikan susu untuknya, tetapi dia tidak mahu meminumnya,” kata Azhar Imad, 31, ibu kepada Joury yang berusia empat bulan.
“Saya juga membuatkannya air halba, jintan manis, jintan putih, apa-apa jenis herba (dicampur dengan air),” katanya dengan cemas sambil menjelaskan bagaimana percubaan ini sebaliknya membuatkan anaknya sakit.
Kakitangan perubatan di hospital itu meluahkan rasa tidak berdaya, hanya mampu memerhati kesihatan kanak-kanak merosot tanpa ada cara untuk memberi mereka makanan yang selamat.
“Sekarang, kanak-kanak diberi minum air atau kekacang keras yang dikisar, dan ini memudaratkan kanak-kanak di Gaza,” kata doktor Khalil Daqran.
“Jika kebuluran ini berterusan dalam masa tiga atau empat hari, jika kanak-kanak itu tidak mendapat susu dengan segera, maka mereka akan mati,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd