BAGAN SERAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menggunakan helikopter dalam operasi memadam kebakaran belukar di Kampung Tersusun Tebok Panchur, Gunung Semanggol di sini sejak semalam.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.30 petang semalam dan menggerakkan operasi berskala besar melibatkan kekuatan keanggotaan dari pelbagai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di seluruh negeri.
Menurutnya, antara BBP yang terlibat ialah Bagan Serai, Kamunting, Taiping, Selama, Parit Buntar, Lenggong, Gerik, Batu Kurau, Pengkalan Hulu, Trong serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lembah Beriah dan Alor Pongsu.
Beliau berkata, operasi pemadaman yang memasuki hari kedua berjaya mengawal dan memadam kebakaran membabitkan kawasan seluas 56 ekar daripada keseluruhan 58 ekar yang terjejas.
“Kebakaran belukar yang bertompok-tompok dipadam menggunakan pam jentera dan pam angkut melalui satu aliran sejauh 1,000 kaki dengan sumber air diambil dari pili bomba berhampiran.
“Bagi memudahkan pengurusan operasi, kawasan terjejas dibahagikan kepada empat sektor, dengan setiap sektor dikendalikan oleh pasukan seramai enam hingga tujuh anggota,” katanya.
Dalam pada itu, Unit Udara JBPM turut dikerahkan bagi membantu operasi menerusi pesawat AW139 yang melaksanakan teknik water bombing sebanyak 20 kali setakat ini.
“Antara cabaran yang dihadapi juruterbang termasuklah kawasan pemadaman yang berhampiran dengan talian elektrik bervoltan tinggi yang memerlukan langkah keselamatan tambahan.
“Selain itu, kawasan pengambilan air yang cetek turut menyebabkan baldi air (water bucket) dimasuki lumpur,” katanya.
Menurut Sayani, lokasi mendarat pesawat yang sebelum ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Semanggol telah dipindahkan ke kawasan parkir Bukit Merah Laketown Waterpark bagi kelancaran operasi udara.
“Untuk esok pesawat dijadualkan berlepas dari Pengkalan Udara Bertam pada pukul 8 pagi bagi meneruskan misi pemadaman kawasan yang masih terbakar,” ujarnya.
Operasi hari ini ditangguhkan pada pukul 7 malam dan akan disambung semula esok pagi.
Pasukan BBP Bagan Serai pula akan terus membuat pemantauan berkala di Pos Kawalan Bomba (PKB) sepanjang malam. – UTUSAN